PRN Johor: Bersatu, Pas bertanding guna logo PN

Muhyiddin pada sidang media sempena Muzakarah Pas-Bersatu di Hotel Glenmarie, Shah Alam pada Sabtu.
Muhyiddin pada sidang media sempena Muzakarah Pas-Bersatu di Hotel Glenmarie, Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, itu sebahagian resolusi dicapai dalam Muzakarah Pas-Bersatu yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu.

Katanya, parti-parti komponen lain dalam PN yang pro Pas dan Bersatu seperti Gerakan juga akan menggunakan lambang PN.

"Kita akan menyertai PRN Johor sebagai PN.

"Kita juga akan memperkukuhkan jalinan kerjasama Pas dan Bersatu sebagai sebagai 'satu pasukan' sehingga peringkat jentera akar umbi," katanya pada sidang media sempena muzakarah itu yang diadakan di Hotel Glenmarie di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

PRN Johor akan diadakan tidak lama lagi ekoran pembubaran Dewan Undangan Negerinya (DUN) setelah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Muhammad hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula 27 kerusi daripada 56 DUN.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai agihan kerusi antara parti komponen PN, Muhyiddin menjelaskan, ia akan diputuskan dalam tempoh terdekat iaitu sehari dua lagi.

"Kita akan bincangkan perkara itu sama ada akan bertanding di 56 kerusi atau sebaliknya.

"Yang penting hasrat kita untuk bertanding untuk mendapat sokongan dan mandat rakyat atau bangsar Johor untuk membentuk kerajaan peringkat negeri," ujarnya

Ditanya tentang calon Menteri Besar dan pemilihan calon muda dan veteran, menurutnya, perkara itu juga belum diputuskan.

"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun belum bermesyuarat tentang perkara ini (PRN). Jadi kita belum ada calon DUN apatah lagi calon Menteri Besar.

"Dari segi calon muda dan veteran, kita akan perhalusi kerana di Johor kita ada tokoh-tokoh yang agak berkelayakan yang kita boleh calonkan sebagai calon dalam PRN," katanya.