'Kestabilan politik ada bila BN tiada'

Muhammad Sanusi ketika berucap pada Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional Kawasan Pulai di sini pada Sabtu.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional Kawasan Pulai di sini pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kestabilan politik dalam negara seperti yang sering dilaungkan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO disifatkan hanya boleh dicapai sekiranya parti itu tidak lagi memerintah.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berikutan ketidakstabilan politik berlaku sehingga beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan disebabkan tindakan BN selepas diberi peluang kembali memerintah.

“Formulanya UMNO tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang UMNO mempunyai kerusi lebih sikit mesti PRN. Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan Ketua Menteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih.

“Kita tengok negeri lain bila mereka (UMNO) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kawasan Pulai di sini pada Sabtu.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, kestabilan dalam pemerintahan negara haruslah mempunyai kesepakatan tetapi BN khususnya UMNO dilihat terus menjadi pihak yang mencetuskan perbalahan itu.

“Dia macam kita duduk satu rumah, makan satu meja masak satu lauk, tetapi dia tikam belakang kita, inilah lah perangai BN. Kita kalau nak hidup aman, lidah dengan hati mesti sama.

“Mereka (UMNO) sudah menerima macam-macam tetapi tetap tamak kerana mereka kalau boleh mahu semua. Tengok apa yang mereka tidak dapat, jika bukan jawatan menteri mesti pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, tindakan BN yang terlalu menuntut beberapa PRN diadakan kini adalah kerana mereka mahu menunjukkan yang parti sudah kembali diterima rakyat.

Beliau berkata, formula ini adalah sama dengan apa yang dilakukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dipercayai ia diamalkan pula Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini strategi digunakan Anwar dan diikut pula oleh Zahid yang juga anak muridnya. Mereka (UMNO) mahu tunjuk yang konon mereka sudah mendapat keyakinan kembali, itu sebab mereka buat PRN demi PRN.

“Beza sikit daripada Anwar, kalau boleh lihat berapa beliau (Anwar) berjaya buat Pilihan Raya Kecil (PRK) pada tahun 2008 hingga 2013 tetapi tidak boleh buat PRN kerana ketika itu tiada negeri yang goyah, Zahid berjaya lakukan,” katanya.