Wanita PN kemuka 16 calon tanding PRN Johor

Hamzah, Takiyuddin, Rina dan barisan kepimpinan PN dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, pada malam Jumaat.
Hamzah, Takiyuddin, Rina dan barisan kepimpinan PN dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, pada malam Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 16 calon Wanita Perikatan Nasional (PN) sudah dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, senarai nama calon daripada tiga parti komponen PN itu sudah dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan.

"Senarai ini melibatkan calon-calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Mereka adalah berkelayakan dan harap diberi peluang untuk bertanding dalam PRN Johor.

"Pemilihan calon itu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai kategori dan latar belakang setiap individu terbabit.

"Sudah pasti peluang ini turut diberikan kepada wanita untuk bertanding bahkan kita harap mereka ini bukan sahaja dipilih sebagai calon tetapi juga mampu menjadi Yang Berkhidmat (YB) pada 12 Mac nanti," katanya.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Bersatu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Jentera Wanita PN Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, di sini, pada malam Jumaat.

Pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan dua Timbalan Ketua Wanita PN, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rina berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada calon Wanita PN pada PRN Johor.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Wanita PN sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN Johor sebelum pengumuman pembubaran DUN Johor dilakukan.

"Kita akan ketengahkan isu yang dekat dengan wanita antaranya usaha membantu menaikkan taraf ekonomi mereka, bimbing mereka untuk bangkit semula dan sebagainya," katanya.

Rina memberitahu, Wanita PN mempunyai kira-kira 10,000 ahli berdaftar yang akan bergerak membantu PN di seluruh pelosok negeri ini.