'Hanya PN mampu berikan kerajaan bersih, bebas rasuah'

Hamzah, Takiyuddin, Rina dan barisan kepimpinan PN dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, pada malam Jumaat.
Hamzah, Takiyuddin, Rina dan barisan kepimpinan PN dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, pada malam Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri yang bersih, amanah dan bebas rasuah hanya dapat ditubuhkan sekiranya pengundi memberi mandat yang besar kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, rekod bersih pemimpin PN di peringkat Pusat atau negeri perlu dijadikan rujukan serta asas keyakinan rakyat Johor untuk memilih PN.

Justeru beliau yang juga Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN menyeru pengundi untuk kembali meletakkan PN ke tampuk pemerintahan negeri ini dengan memilih gabungan tersebut untuk masa depan mereka.

"Semua pemimpin PN berjiwa besar dan mempunyai integriti yang tidak boleh dipisahkan dengan mereka. Kita boleh buktikan sekiranya diberikan kuasa dan kita tidak akan sia-siakan kepercayaan yang rakyat berikan.

"Kalau mahu negeri yang maju perlu pilih PN dan PN akan buktikan. Sudah sampai masanya untuk Bangsa Johor ketahui, parti yang akan meneruskan perjuangan yang benar-benar bersih adalah PN.

"Itu sebenarnya yang kita ketengahkan. Kita akan menjadi pelindung kepada seluruh rakyat Johor," katanya ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel di sini pada malam Jumaat.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan dua Timbalannya, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PN juga menawarkan kerajaan yang stabil dan prihatin, malah PN adalah gabungan yang menstabilkan kerajaan Pusat ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak yang mengganggu kerajaan Pusat dan menyebabkan ketidakstabilan politik adalah UMNO apabila mereka menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, bukan sahaja di peringkat negara UMNO mencetuskan ketidakstabilan politik, di peringkat negeri juga berbuat demikian apabila berusaha mengadakan PRN walaupun rakyat tidak mahu.

"Mereka dengan angkuh, bongkak dan sombong mahukan PRN, kononnya akan menang besar. Kita akan buktikan dalam PRN pada 12 Mac ini bahawa kita yang akan tentukan masa depan rakyat Johor," katanya.