PH ganti semula hutan simpan dinyahwarta BN

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. - Foto Bernama
A
A
A
SHAH ALAM - Kerajaan negeri komited mengekalkan hutan simpan kekal (HSK) malah sedia menggantikan yang telah dinyahwarta sebelum ini bagi tujuan pembangunan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan menyahwarta HSK sudah dibuat BN sejak 2005 dan selepas PH mengambil alih pentadbiran negeri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali komited mengekalkannya.

“Semua pihak perlu tahu, kerajaan negeri akan gantikan semula HSK mengikut keluasan yang dinyahwarta sebelum ini, malahan kita akan menggantikannya melebihi jumlah sebenar.

“Ingin ditekankan sekali lagi, Selangor komited mengekalkan HSK sebanyak 30 peratus seperti diumumkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas sesi pertanyaan lisan, pada Sidang Dun Selangor di sini, hari ini.

Amirudin Shari (PKR-Sungai Tua) berkata demikian bagi mengulas pertikaian badan bukan kerajaan berhubung tindakan Selangor menyahwartakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Lagong, di Gombak untuk melaksanakan projek perumahan.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, tiada halangan kepada mana-mana pihak untuk mengemukakan bantahan, namun setiap pertikaian perlu dinyatakan secara rasional.

“Pada saya bantahan ini adalah proses biasa kerana ia melalui pendengaran awam, namun saya ingin sekali lagi tekankan proses penggantian semula tanah HSK oleh kerajaan negeri dilakukan segera, bukannya dalam tempoh lima hingga ke 10 tahun,” katanya.