Mufti Pahang: Undang-undang sedia ada sudah cukup

ABDUL RAHMAN
ABDUL RAHMAN
A
A
A

KUANTAN - Cadangan untuk menubuhkan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah perlu diteliti terlebih dahulu kerana undang-undang sedia ada sudah memadai.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, meskipun ada kes membabitkan kegagalan suami membayar nafkah kepada isteri dan anak, namun keputusan mahkamah syariah adalah mandatori serta perlu dipatuhi.

“Tak perlu sampai nak buat mahkamah baru untuk selesaikan kes seperti ini. Kalau suami atau bekas suami enggan, tindakan tegas boleh dikenakan kepada mereka dengan guna peruntukan undang-undang sedia ada.

"Dalam hal ini, jabatan agama Islam di seluruh negara ada menyediakan tabung. Tabung ini bagi membantu balu atau bekas isteri yang tidak menerima nafkah. Jadi rasanya lebih baik jika kita kemas kini status tabung ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof untuk menubuhkan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah.

Cadangan itu dibuat bagi menangani masalah bekas suami yang enggan membayar nafkah kepada isteri dan anak mereka selepas bercerai.

Inisiatif penubuhan mahkamah khas itu dirancang bagi mempercepatkan penyelesaian masalah perkahwinan dan perceraian difailkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, selain membantu mengurangkan kes isteri digantung tidak bertali.

Malah, terdapat juga cadangan pembekuan akaun bank bekas suami dibuat bagi memastikan nafkah itu dilunaskan kepada isteri dan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman memberitahu, cadangan tersebut juga perlu dikaji terlebih dahulu.

Jelasnya, ini kerana tindakan itu bakal menimbulkan implikasi lain terhadap bekas suami terbabit.

"Kalau mereka (bekas suami) dibekukan akaun bank, bagaimana pula mereka nak teruskan hidup. Saya nampak ini akan menimbulkan masalah lain, kalau sudah beku (akaun bank), bagaimana mereka nak bayar nafkah.

"Banyak aspek perlu dilihat semula jika kerajaan ingin teruskan cadangan ini," katanya.

Beliau dalam pada itu meminta kerajaan mencari kaedah atau penyelesaian paling sesuai dan praktikal terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, seboleh-bolehnya keputusan dibuat menang-menang bagi kedua-dua belah pihak supaya lebih adil.