Tolak pengiktirafan UEC secara halus, jangan khianat sistem pendidikan- Pas Pahang

Aireroshairi
Aireroshairi
A
A
A

KUANTAN – Pas Pahang menolak sebarang bentuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sama ada secara langsung atau berselindung kerana ia didakwa mencabar kedaulatan dasar pendidikan kebangsaan.

Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan berkata, keputusan Kabinet yang membenarkan pelajar lepasan UEC memohon kemasukan ke universiti awam dengan syarat kepujian Bahasa Melayu dan Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah mewujudkan ketidakadilan yang ketara dalam sistem kemasukan universiti.

Menurutnya, lebih mencurigakan, pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan bukannya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sekali gus menimbulkan persoalan mengenai saluran rasmi serta ketelusan dasar pendidikan negara.

"Cadangan ini mencipta diskriminasi terang-terangan dalam sistem pendidikan negara.

Pelajar SPM diwajibkan mengambil sekurang-kurangnya enam mata pelajaran termasuk subjek teras seperti Matematik dan Sains untuk layak memasuki universiti awam.

"Tetapi pelajar UEC pula dicadangkan hanya perlu lulus Bahasa Melayu dan Sejarah SPM sahaja, sementara subjek lain diambil dari sistem yang tidak pernah diiktiraf kerajaan," katanya pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pelajar UEC menduduki mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah ketika mendaftar peperiksaan SPM.

Pada Rabu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilapor berkata, setiap keputusan berkaitan pendidikan termasuk pengiktirafan UEC akan dibuat selepas mengambil kira semua aspek demi kepentingan seluruh rakyat dan sistem pendidikan negara secara menyeluruh.

Menurutnya, isu UEC tidak boleh dilihat secara terasing kerana ia berkait rapat dengan keperluan penguasaan bahasa Melayu dan sejarah dalam semua sistem persekolahan yang tidak berteraskan kurikulum kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Aireroshairi turut mempersoalkan bagaimana Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu mengira merit kemasukan sekiranya majoriti subjek tidak diambil dalam SPM?

Menurutnya, sekiranya keputusan UEC akan digunakan, bermakna pengiktirafan UEC secara senyap tanpa kelulusan rakyat dan inilah pengkhianatan terhadap sistem pendidikan kebangsaan.

Aireroshairi menambah, hakikatnya, UEC tidak pernah diiktiraf kerajaan kerana berada di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan.

"Fadhlina sendiri pernah menegaskan bahawa KPM tidak akan mengiktiraf UEC kerana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

"Bahkan Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, seorang pakar pendidikan bukan Melayu, menegaskan UEC tidak wajar diiktiraf kerana tidak selari dengan prinsip pendidikan kebangsaan.

"Malah, beliau (Kok Seong) menyifatkan orang Melayu terlalu bertolak ansur sehingga menjejaskan kedudukan sendiri," ujarnya.

Aireroshairi menegaskan, sekiranya pakar bukan Melayu melihat perkara ini bahaya mengapa kepimpinan Melayu dalam kerajaan masih sanggup berkompromi?

Katanya, isu ini bukan sekadar soal kemasukan universiti, tetapi melibatkan kedaulatan dasar pendidikan dan masa depan identiti nasional.

Jelas beliau lagi, Bahasa Melayu dan Sejarah bukan sekadar subjek peperiksaan, tetapi instrumen pembinaan identiti nasional dan kefahaman sejarah negara.

"Apabila subjek ini dijadikan sekadar "syarat minimum" untuk melengkapkan keputusan UEC, ia akan mendorong pembelajaran secara ala kadar cukup lulus sahaja.

"Cadangan ini bukan jalan tengah, tetapi satu bentuk pengiktirafan UEC secara halus dan berperingkat.

"Hari ini syaratnya lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, esok syarat itu akan digugurkan dan kemasukan ke universiti awam hanya bergantung kepada UEC semata-mata.

"Sejarah menunjukkan pengiktirafan dasar sering bermula dengan kompromi kecil sebelum berkembang menjadi penerimaan penuh," katamya.

Sehubungan itu, Pas Pahang menuntut semua pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, bangkit menolak sebarang bentuk pengiktirafan UEC.

Katanya, kerajaan mesti memberi penjelasan terbuka melalui Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri bagi mempertahankan maruah sistem pendidikan negara.

"Prinsip kita jelas semua aliran pendidikan mesti tertakluk kepada sistem peperiksaan nasional yang sama iaitu SPM.

"Pelajar bebas belajar dalam apa jua bahasa atau aliran, tetapi kemasukan ke universiti awam mesti berasaskan piawaian yang seragam dan adil," jelasnya.

Ringkasan AI

  • Pas Pahang menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana mencabar kedaulatan dasar pendidikan kebangsaan
  • Keputusan Kabinet membenarkan pelajar UEC memohon kemasukan ke universiti awam hanya dengan kepujian Bahasa Melayu dan Sejarah SPM dianggap tidak adil
  • Pengumuman oleh Setiausaha Agung DAP, bukan Menteri Pendidikan, menimbulkan persoalan tentang ketelusan dasar pendidikan
  • UEC tidak diiktiraf kerajaan dan berada di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan
  • Pas Pahang mendesak kerajaan dan pembangkang menolak segala bentuk pengiktirafan UEC dan meminta penjelasan terbuka melalui Menteri Pendidikan dan Perdana Menteri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!