50 NGO gesa kematian dalam tahanan disiasat badan bebas

Suaram menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Suaram menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyerahkan satu memorandum kepada Polis Diraja Malaysia pada Jumaat (PDRM) bagi menggesa badan bebas ditubuhkan untuk menyiasat kes kematian dalam tahanan.

Pegawai Kanan Suaram, Mohamad Alshatri Abdullah berkata, memorandum yang disokong oleh 50 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Suaram itu menggariskan empat perkara

Menurutnya, memorandum tersebut turut menggesa prosiding inkues dijalankan ke atas kesemua tujuh kes kematian dalam tahanan yang berlaku sejak Januari.

"Walaupun siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah selesai namun prosiding inkues perlu dijalankan mengikut Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ)(Akta 593).

"Kami menyeru PDRM bekerjasama dengan pendakwa raya dan meminta menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 339 KTJ untuk mengarahkan koroner menjalankan siasatan ke atas setiap kematian terbabit," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, PDRM perlu menubuhkan unit pusat rawatan di setiap pusat tahanan polis berikutan rekod menunjukkan 11 daripada 19 kes kematian membabitkan masalah kesihatan.

“Kita turut menyarankan Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) ditarik balik dan diganti dengan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku (IPCMC),” katanya.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) PDRM Asisten Superintendan Norsyamieza Ngah Taman kira-kira jam 11.30 pagi di sini.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, PDRM mengesahkan terdapat tujuh kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dengan hanya satu kes membabitkan unsur jenayah, setakat ini.

Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Azri Ahmad dipetik berkata, daripada tujuh kes yang dilaporkan itu, empat daripadanya membabitkan kematian dalam lokap.