Sangkut kes, memang kenalah!

Pemain Penang FC, Adib Ra'op mengalami pendarahan pada hidung susulan insiden panas yang berlaku ketika aksi antara Penang FC dan TFC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Rabu. - Foto: Bernama
Pemain Penang FC, Adib Ra'op mengalami pendarahan pada hidung susulan insiden panas yang berlaku ketika aksi antara Penang FC dan TFC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

SETIAP pemain pasukan Liga Malaysia (Liga-M) diingatkan sentiasa menjaga tahap profesionalisme masing-masing bagi mengelak daripada menjejaskan imej bola sepak tempatan.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed ketika mengulas insiden pergaduhan antara pemain Terengganu FC II (TFC II) dan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Rabu.

Mohd Firdaus yang juga Naib Presiden FAM berkata, beliau kecewa dengan insiden berkenaan yang secara tidak langsung telah mencemarkan imej badan induk bola sepak negara itu.

“Kalau ikutkan pertandingan itu (Piala Menteri Besar Terengganu) memang di bawah FAM sebab Liga Malaysia (Liga-M) belum mula. Sudah tentu saya berasa kecewa kerana insiden itu menjejaskan imej FAM.

“Apa yang berlaku ini lebih kepada tahap profesionalisme pasukan masih rendah. Semua sibuk dengan friendly matches, nak ambil pemain sana, pemain sini (tetapi) tak masukkan elemen lain seperti nilai murni.

“Itulah yang menjadi masalahnya. Jadi pihak pengurusan (pasukan) itu kena lebih profesional, barulah pemain itu akan menjadi profesional,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Mohd Firdaus
Mohd Firdaus

Dalam kejohanan jemputan itu yang menyaksikan TFC II muncul juara, dua lagi pasukan Liga Super turut mengambil bahagian iaitu TFC dan Sri Pahang FC selain Penang FC.

Artikel Berkaitan:

Namun, aksi terakhir yang menemukan TFC II dan Penang FC itu dicemari dengan insiden pergaduhan yang tercetus pada penghujung aksi babak pertama dengan aksi tumbuk-menumbuk serta kejar-mengejar antara pemain kedua-dua pasukan.

Situasi ‘panas’ itu menyaksikan pemain Penang FC, Adib Ra’op mengalami pendarahan pada hidung manakala pemain TFC II, Ridzuan Razali terpaksa berbalut di kepala akibat kecederaan.

Punca tercetusnya insiden memalukan itu dipercayai bermula apabila pemain kedua-dua pasukan ‘berkampung’ dalam kawasan pintu gol TFC selepas sepakan penalti yang diambil kapten Penang FC, Endrick Dos Santos berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad.

Selepas pergaduhan itu, perlawanan terhenti selama 45 minit sebelum pengadil perlawanan, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin memberikan kemenangan kepada TFC II selepas skuad bimbingan Tomas Trucha enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua.

Mengulas mengenai hukuman yang bakal dikenakan ke atas mana-mana pemain terlibat, Mohd Firdaus berkata, perkara itu diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi memuktamadkan sebarang keputusan.

“Bercakap soal hukuman, kita serahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tentukan hukuman. Apa pun, kita akan nilai dulu laporan pengadil dan kita akan hantar ke Jawatankuasa Tatatertib.

“Kalau ada kes untuk dibawa, memang kenalah. Kita juga percaya pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sedang meneliti perkara ini,” jelasnya.