1,810 serbuan judi di Perak

Mior Faridalathrash menunjukkan edaran gambar individu dikehendaki polis.
Mior Faridalathrash menunjukkan edaran gambar individu dikehendaki polis.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 1,810 serbuan berkaitan aktiviti perjudian membabitkan individu dan sindiket dilakukan sepanjang tahun lalu di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, angka itu membabitkan 1,319 serbuan berkaitan kegiatan loteri awam tanpa lesen, mesin perjudian (248), judi catat taruh (176), judi tempat awam (40) dan judi dalam bangunan (29).

"Dalam tempoh sama, Polis Perak telah membuat 2,363 tangkapan dan merampas 333 mesin yang digunakan bagi tujuan perjudian haram.

"Selain itu, sepanjang tahun lalu, sebanyak 77 premis yang dikesan menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen turut dikenakan potongan bekalan elektrik," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Individu dikehendaki bagi siasatan kes di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Individu dikehendaki bagi siasatan kes di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Individu dikehendaki bagi siasatan kes di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Individu dikehendaki bagi siasatan kes di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Menurutnya, tindakan membanteras kegiatan perjudian tidak hanya melibatkan serbuan dan rampasan, sebaliknya pihak bertanggungjawab juga didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, setakat ini, tiga sindiket yang menjalankan kegiatan calling centre dan judi online dituduh di mahkamah melibatkan tangkapan 12 lelaki dan empat wanita, hasil serbuan antara Mei hingga Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Untuk tempoh Januari tahun ini pula, polis telah melaksanakan 226 serbuan dengan 266 tangkapan serta merampas 37 mesin judi," katanya.

Dalam perkembangan lain, polis mohon kerjasama orang ramai bagi memberikan maklumat berhubung 10 individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan berkaitan kes jenayah.

Mior Faridalathrash berkata, lima daripada individu itu berusia lingkungan 32 hingga 52 tahun diperlukan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan iaitu berkaitan kegiatan kongsi gelap.

"Manakala lima lagi individu berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun bagi siasatan kes pecah masuk rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.