Vaksin: 18,301 kanak-kanak terima dos pertama di Sarawak

Sejumlah 18,301 kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Sarawak telah mendapat dos pertama vaksin Covid-19 setakat Rabu. - Gambar hiasan/Foto 123rf
Sejumlah 18,301 kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Sarawak telah mendapat dos pertama vaksin Covid-19 setakat Rabu. - Gambar hiasan/Foto 123rf
A
A
A

KUCHING - Sejumlah 18,301 orang atau 4.1 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun di Sarawak telah mendapat dos pertama vaksin Covid-19 setakat Rabu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, angka itu menyumbang kepada 40 peratus jumlah keseluruhan kanak-kanak di negara ini yang telah mendapatkan suntikan dos pertama mereka.

"Ini memberi semangat dan perangsang kepada negeri-negeri lain (untuk contohi Sarawak), kita perlu ikut jejak langkah Sarawak, melihat kepada kesungguhan, kerajinan, ketekunan dan fokus semua (rakyat) yang terlibat dalam program vaksinasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Klinik Kesihatan Batu Kawa di sini pada Khamis

Dr Noor Azmi berkata, Sarawak telah memulakan PICKids sejak 3 Februari lepas dengan 286,000 kanak-kanak layak divaksin atau 10.1 peratus daripada jumlah populasi di negeri itu.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan sejumlah 70 peratus kanak-kanak dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin Covid-19 bagi tempoh dua bulan sejak pelaksanaannya dimulakan.

"Kini dua juta pelajar telah berada di sekolah, sekolah dah buka...jadi ini memudahkan proses vaksinasi, tidak perlu ke mana-mana, hanya laksanakan di sekolah.

"Kalau habis kanak-kanak sekolah ini divaksin, bermakna 70 peratus daripada kanak-kanak kita telah divaksin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Dr Noor Azmi, walaupun kesan jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak tidak serius, namun kerajaan tetap prihatin dan menggesa ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksinasi mereka.

"Kanak-kanak yang belum dipanggil mendapatkan vaksinasi di PPV yang disediakan mereka akan menerima vaksin di PPV sekolah.

"Usaha ini penting untuk kita beralih ke fasa endemik dan kanak-kanak adalah sebahagian golongan penting yang perlu mendapatkan vaksin,” katanya. - Bernama