Remaja derita usus, SLE perlu bantuan

Mohd Shaid (belakang) menziarahi Nurul Syahera (duduk tengah) bersama ibu dan bapanya di Residensi Warnasari 2, Puncak Alam di sini pada Khamis.
Mohd Shaid (belakang) menziarahi Nurul Syahera (duduk tengah) bersama ibu dan bapanya di Residensi Warnasari 2, Puncak Alam di sini pada Khamis.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Seorang remaja hanya mampu terbaring akibat menderita penyakit usus dan Systemic Lupus Erythematosus (SLE) sejak setahun lalu.

Nurul Syahera Edmal Kamarul Bahrin, 15, ketika ini hanya seberat 19 kilogram selepas mengalami penurunan berat badan mendadak.

Ibunya, Sharizaton Sawal, 43, berkata, anak perempuannya itu mula dikesan menderita penyakit itu selepas kerap mengadu kemurungan, kelesuan dan kurang selera makan pada Mac tahun lalu.

"Lebih menyedihkan apabila saya membantunya mandi. Badan Nurul Syahera hanya nampak tulang," katanya ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli di kediamannya di Residensi Warnasari 2, Puncak Alam pada Khamis.

Sharizaton berkata, bimbang keadaan kesihatan anak ketiga daripada empat beradik itu, dia dan suami, Kamarul Bahrin Kahaludin, 46, membawa Nurul Syahera menjalani pemeriksaan di beberapa klinik swasta.

"Hasil ujian darah, rambut dan air kencing pada Julai lalu mendapati kulat di dalam ususnya sudah merebak 90 peratus dan turut menghidap SLE," katanya.

Sharizaton memberitahu, akibat penyakit itu anaknya kini memerlukan kos perubatan dianggarkan RM30,000 setahun seperti disyorkan doktor pakar sebuah klinik swasta di Johor Bharu.

"Kos ini meliputi bekalan ubat-ubatan dan susu formula khas," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keluarganya tidak berkemampuan menyediakan keperluan itu berikutan pendapatan suami sebagai pemandu lori juga tidak menentu selain mengharapkan bantuan keluarga serta rakan.

Jelas Sharizaton, anaknya yang juga pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Puncak Alam itu berhasrat bertemu pendakwah terkenal, Ebit Lew.

"Walaupun dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, Nurul Syahera sering menonton video Ustaz Ebit menerusi televisyen dan saluran YouTube.

"Nurul Syahera menjadikan Ebit sebagai penggalak semangat untuk dia terus melawan penyakit dan gigih meneruskan sesi pembelajaran persekolahan secara dalam talian sehingga kini," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 162740199609 atas nama Sharizaton atau menghubunginya di talian 014-7195610.