Kanak-kanak daftar PICKids masih rendah di Melaka

Dr Muhamad Akmal (kiri) bergambar bersama kanak-kanak dan maskot ketika meninjau PICKids di PPV Dewan Datuk Ahmad Ithinin, Merlimau Pasir pada Khamis
Dr Muhamad Akmal (kiri) bergambar bersama kanak-kanak dan maskot ketika meninjau PICKids di PPV Dewan Datuk Ahmad Ithinin, Merlimau Pasir pada Khamis
A
A
A

JASIN - Hanya 15,000 kanak-kanak di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka didaftarkan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) melalui MySejahtera sejak Januari lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, angka itu dilihat masih rendah berbanding jumlah kanak-kanak yang layak menerima vaksin iaitu seramai 98,600 termasuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun berjumlah seramai 57,828 orang.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan bilangan terbabit akan bertambah kerana memahami perasaan ibu bapa bahawa mereka bukan menolak vaksin tetapi mahu mengambil sikap tunggu dan lihat pengalaman kanak-kanak lain yang telah mengambil vaksin Covid-19.

Menurutnya, setakat ini seramai 10,360 kanak-kanak telah menerima vaksin di tujuh pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk tiga PPV di daerah Melaka Tengah dan dua PPV di Jasin serta Alor Gajah dalam tempoh 8 hingga 9 Februari lalu.

"Walaupun vaksinasi tidak wajib kepada kanak-kanak tetapi bagi ibu bapa kita perlu menilai risiko lebih tinggi,

"Hari ini risiko mendapat kesan sampingan vaksin adalah 0.001 peratus tetapi risiko anak-anak untuk mendapat jangkitan Covid-19 di negeri ini lebih tinggi iaitu sebanyak 13.9 peratus, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau PICKids di PPV Dewan Datuk Ahmad Ithinin, Merlimau Pasir di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, sebanyak 431 kes Covid-19 direkodkan melibatkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dalam tempoh 3 hingga 9 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Dr Muhamad Akmal (kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang kanak-kanak yang menerima vaksin di PPV Dewan Datuk Ahmad Ithinin, Merlimau Pasir pada Khamis.
Dr Muhamad Akmal (kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang kanak-kanak yang menerima vaksin di PPV Dewan Datuk Ahmad Ithinin, Merlimau Pasir pada Khamis.

"Setakat ini juga sebanyak empat kes kematian membabitkan kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun bermula sejak kes Covid-19 dilaporkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan PICKids berjaya dan jumlah yang bersetuju untuk menerima vaksin bertambah, pihaknya bercadang untuk mewujudkan unit bergerak di peringkat sekolah.

"Selepas sesi persekolahan akan datang, mungkin ada ibu bapa yang tidak sempat membawa anak menerima vaksin.

"Jadi pihak sekolah akan lihat balik berapa ramai yang beri persetujuan dan kita akan aturkan pemberian vaksin ikut lokaliti," katanya.