Dua kilang dikesan sambung paip tidak sah

Operasi penguatkuasaan di premis kilang memproses bahan plastik kitar semula yang dikesan melakukan penyambungan paip tidak sah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
Operasi penguatkuasaan di premis kilang memproses bahan plastik kitar semula yang dikesan melakukan penyambungan paip tidak sah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.
A
A
A

SHAH ALAM - Unit Penguatkuasaan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bertindak memotong bekalan air dua kilang memproses bahan plastik kitar semula di Pulau Indah, Pelabuhan Klang selepas dikesan melakukan penyambungan paip tidak sah melalui operasi bersepadu pada Khamis.

Air Selangor dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil tindakan itu selepas risikan dilakukan di premis berkenaan.

SPAN dalam kenyataan di Facebook pada Khamis memaklumkan, kedua-dua premis itu didapati melakukan penyambungan paip air secara terus dari tetiang tanpa meter Air Selangor menggunakan paip HDPE berukuran 25 milimeter disyaki bagi tujuan kegunaan harian premis kilang tersebut.

"Tindakan pemotongan bekalan air yang diperoleh secara tidak sah telah diambil tindakan serta-merta dan pemilik premis bertanggungjawab dipanggil untuk memberi keterangan dan berdepan tindakan perundangan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, SPAN sentiasa menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang yang menjadi penyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil atau Non- Revenue Water (NRW).

Tambah kenyataan itu, penyambungan bekalan air dari sesalur utama awam boleh disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan akan berdepan denda tidak melebihi RM100,000 satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebarang aduan atau maklumat berkenaan penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang para pengguna boleh menghubungi talian 03-8317 9333 atau e-mel kepada aduan@span.gov.my

Artikel Berkaitan: