Ejen hartanah tidak mengaku cuba bunuh polis di SJR

Anggota polis membawa Kah Wai ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu, atas pertuduhan cuba membunuh anggota polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Besar Seri Kembangan pada Sabtu lalu.
Anggota polis membawa Kah Wai ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu, atas pertuduhan cuba membunuh anggota polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Besar Seri Kembangan pada Sabtu lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan cuba membunuh dengan melanggar seorang anggota polis dalam sekatan jalan raya (SJR), Sabtu lalu.

Yap Kah Wai, 29, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, Kah Wai didakwa cuba membunuh Lans Koperal Meor Mohd Asri Meor Azlan Shah, 33, dengan melanggar mangsa menggunakan kereta jenis Toyota Vios di SJR Jalan Besar Seri Kembangan menghala ke Pekan Seri Kembangan di sini pada jam 1.50 pagi, 5 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat tidak mencadangkan ikat jamin kepada tertuduh dengan mengambil kira kecederaan parah yang dialami mangsa selain tertuduh mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Tertuduh mempunyai 16 rekod jenayah lampau antaranya dadah, samun dan curi kenderaan," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Kailash Sharma yang mewakili tertuduh memohon agar mahkamah mengambil kira kesalahan yang belum dibuktikan bersalah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Jamaludin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis parah selepas dirempuh kereta Toyota Vios oleh seorang pemandu yang dipercayai positif dadah ketika bertugas di sekatan jalan raya di Jalan Besar Seri Kembangan di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalangan, dalam kejadian itu mangsa mengalami patah kaki kanan, cedera di kedua-dua tangan dan menerima enam jahitan di kepala.