Anggota polis parah dirempuh pemandu positif dadah di SJR

Keadaan kereta suspek yang dipercayai merempuh seorang anggota polis di SJR di Seri Kembangan pada Sabtu.
Keadaan kereta suspek yang dipercayai merempuh seorang anggota polis di SJR di Seri Kembangan pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Seorang anggota polis cedera parah selepas dirempuh sebuah Toyota Vios dipandu pemandu yang positif dadah ketika bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Besar Seri Kembangan di sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalangan berkata, dalam kejadian jam 1.53 pagi itu mangsa, Lans Koperal Meor Mohd Asri, 33, mengalami patah kaki kanan, cedera di kedua-dua belah tangan dan menerima sebanyak enam jahitan di kepala.

Menurutnya, sepasukan polis dari Balai Polis Seri Kembangan bersama unit kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menahan tiga orang suspek di Jalan SP5/2 Taman Serdang Perdana di sini sekitar jam 5.30 pagi pada Sabtu.

"Hasil keputusan ujian saringan awal air kencing ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.

"Ujian pernafasan kandungan alkohol terhadap suspek pula adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek pertama merupakan pemandu kereta adalah seorang lelaki berusia 29 yang mempunyai sebanyak 14 rekod jenayah dan dadah serta 16 kesalahan trafik.

"Suspek kedua merupakan seorang wanita berusia 24 tahu yang berada sama dalam kenderaan dan mempunyai tiga rekod lampau kes dadah.

"Suspek ketiga adalah pemilik kenderaan yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun, bekerja sebagai juruteknik dan mempunyai empat rekod kes jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anbalangan berkata, mangsa sedang menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan Seksyen 26 Akta Polis serta Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.