Titik berat aspek kemanusiaan, angkat budaya dan seni negara

Eddin Khoo. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Eddin Khoo. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat Malaysia disaran untuk kembali menitikberatkan aspek kemanusiaan dalam usaha mengangkat nilai kebudayaan dan kesenian negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengasas Pusaka, Eddin Khoo berkata, ini kerana rakyat kini lebih memberikan tumpuan terhadap bidang sains dan teknologi.

“Kita dalam era media sosial di mana ini merupakan satu zaman di mana proses penyisihan sudah merebak.

“Sekarang kita harus renung kembali kerana kini kita tidak lagi menitikberatkan aspek kemanusiaan sebaliknya lebih tertumpu pada sains dan teknologi hingga mewujudkan satu masyarakat yang bersifat robotik,” katanya dalam Program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Program tersebut dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar.

Program Bersama Johan Jaaffar menampilkan tetamu undangan Pengasas Pusaka, Eddin Khoo yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Program Bersama Johan Jaaffar menampilkan tetamu undangan Pengasas Pusaka, Eddin Khoo yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Mengulas lanjut mengenai masalah kebudayaan lembap atau culture mediocraty, Eddin mengakui ia turut berlaku disebabkan masyarakat sudah tidak lagi memberi tumpuan kepada asas kesenian dan kebudayaan, sebaliknya lebih banyak berlaku budaya tiruan.

Bagaimanapun katanya, setiap individu harus mula memupuk dan menghidupkan semula semangat kebudayaan dalam diri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang mengatakan tahap budaya kita tidak begitu tinggi, jadi kita harus mula memupuk semangat kebudayaan tersebut.

“Satu daripada usaha dan aspirasi Pusaka adalah untuk membawa dua generasi seniman iaitu moden dan kontemporari dengan seniman tradisional untuk menjalinkan hubungan yang lebih mendalam,” ujarnya.

Sementara itu, beliau yang juga anak kepada sejarawan terkemuka, mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, Pusaka telah berjaya mengangkat seni dan budaya Malaysia ke satu generasi baharu di setiap lokasi persembahan mereka seperti di Perancis dan Singapura.

“Kita juga telah pergi ke Amerika Syarikat bersama kumpulan wayang kulit selama 40 hari dan penonton sangat kagum.

“Sebenarnya maruah seni persembahan ini yang kami bawa. Jadi, saya tidak pernah langsung ada rasa kecewa atau menyesal,” katanya.