Ibu tunggal OKU rayu JKM pertimbang bantuan untuk anak

Nurulashikin bersama tiga anaknya yang berusia lima hingga 13 tahun.
Nurulashikin bersama tiga anaknya yang berusia lima hingga 13 tahun.
A
A
A

MELAKA - Seorang ibu tunggal orang kurang upaya (OKU) merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempertimbangkan Bantuan Kanak-kanak (BKK) untuk tiga anaknya.

Nurulashikin Abdul Razak, 38, berkata, bantuan itu diperlukan memandangkan kini dia tiada punca pendapatan selepas kematian suaminya pada Oktober tahun lalu akibat Covid-19.

Menurutnya, sebelum ini, mereka sekeluarga bergantung harap kepada arwah suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM700 sebulan.

"Jika anak-anak saya dapat bantuan itu, dapatlah mengurangkan beban kami termasuk membeli kelengkapan sesi persekolahan akan datang.

"Anak sulung saya akan melangkah masuk ke sekolah menengah dan memerlukan pakaian sekolah baru, begitu juga anak bongsu yang masih tidak didaftarkan masuk tadika kerana kekangan kewangan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Solok Bukit Baru di sini pada Selasa.

Nurulashikin berkata, biarpun dia menerima bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja sebanyak RM300 sebulan dan bantuan makanan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), namun tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan tiga anaknya yang berusia lima hingga 13 tahun.

"Saya tidak mampu bekerja kerana pergerakan terbatas memandangkan saya bergerak menggunakan kerusi roda," katanya.

Artikel Berkaitan: