Hurjet untuk TUDM, Turki sedia terima bayaran komoditi

Kotil menunjukkan replika pesawat tempur ringan Hurjet ketika bercakap kepada delegasi media Malaysia di Ibu Pejabat (Turkish Aerospace) di Ankara, Turki.
Kotil menunjukkan replika pesawat tempur ringan Hurjet ketika bercakap kepada delegasi media Malaysia di Ibu Pejabat (Turkish Aerospace) di Ankara, Turki.
A
A
A

ANKARA - [DIKEMAS KINI] Syarikat pertahanan Turkish Aerospace sedia menerima pembayaran dalam bentuk komoditi sekiranya berjaya mendapatkan tender membekalkan pesawat tempur ringan (LCA) Hurjet untuk keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Tanpa menamakan jenis komoditi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace, Profesor Temel Kotil berkata, Malaysia boleh memilih kaedah pembayaran mengikut peratusan tertentu bagi komoditi tersebut daripada kos keseluruhan.

"Kami fikir perkara yang lebih besar daripada isu pembayaran. Kami tiada masalah tentang perkara ini dan sedia menerima beberapa peratus pembayaran daripada komoditi.

“Bagi kami mudah iaitu perniagaan adalah perniagaan.Kami bukan bersaing (tender) dengan syarikat lain tetapi kami bersaing dengan diri sendiri (menjadi lebih baik).

"Pembuatan pesawat ini menggunakan terknologi terkini dan baharu maka kami yakin dengan potensi mendapatkan tender ini," katanya kepada delegasi media Malaysia di Ibu Pejabat Turkish Aerospace di sini.

Sebelum ini Menteri Kanan Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam sidang Dewan Rakyat pada 25 November lalu memaklumkan, kerajaan sedang dalam proses menilai tender terbuka perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (FLIT-LCA).

Ia bagi menggantikan pesawat Hawk 108/208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tender terbuka antarabangsa bagi perolehan itu sudah ditutup pada 6 Oktober lepas.

Mengulas lanjut Kotil berkata, sekiranya berjaya mendapatkan tender itu, sebanyak 15 pesawat tersebut akan dipasang di Malaysia manakala tiga lagi Turki sekali gus melatih kepakaran jurutera tempatan membina pesawat tempur ringan selain peluang pekerjaan baharu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Malaysia bakal menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat tersebut yang kini dalam proses pembangunan dengan jangkaan serahan kepada TUDM pada 2025.

"Penerbangan pesawat ini akan dilaksanakan pada Mac tahun depan," jelas beliau.

Sementara itu, dalam lawatan ke kilang syarikat berkenaan di Ankara, Turki membabitkan kawasan seluas satu juta meter persegi, delegasi media Malaysia dibawa bagi menyaksikan sendiri proses pembuatan aset pertahanan itu.