Rumah pusaka 'port' simpan dadah

Soffian (tengah) menunjukkan ganja dan peralatan menghisap dadah yang dirampas dalam tiga serbuan pada Ahad lalu.
Soffian (tengah) menunjukkan ganja dan peralatan menghisap dadah yang dirampas dalam tiga serbuan pada Ahad lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang anak menjadikan rumah pusaka bapanya di sebuah flat di Air Itam sebagai 'port' menyimpan dan membungkus semula dadah sebelum dijual kepada pelanggannya.

Lelaki berusia 38 tahun itu menjalankan kegiatan berkenaan bersama rakannya yang berusia 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, bertindak di atas maklumat dan risikan, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) telah menahan kedua-dua lelaki warga tempatan itu di sebuah rumah di kawasan Air Itam pada Ahad lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui empat ketul dadah jenis ganja di rumah yang disewa oleh abang kepada suspek pertama.

"Hasil daripada siasatan, ia membawa kepada serbuan kedua iaitu pada sebuah kereta jenis Waja. Di dalam kereta tersebut, kita menjumpai 18 lagi ketulan mampat ganja.

"Selepas serbuan itu, kita ke sebuah rumah flat yang terletak berhampiran dan merampas satu ketulan mampat ganja, satu peket plastik berisi daun ganja serta peralatan menghisap dadah. Rumah berkenaan merupakan peninggalan bapa kepada suspek pertama.

"Turut dirampas, sebilah pisau yang disyaki digunakan untuk memotong ketulan ganja kepada ketulan kecil sebelum dijual," katanya pada sidang media di IPDTL di sini pada Selasa.

Soffian berkata, polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 40 tahun di rumah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Wanita tersebut merupakan isteri kepada suspek pertama. Rumah kedua ini didiami oleh suami isteri berkenaan. Bagaimanapun, siasatan awal mendapati, wanita berkenaan tidak tahu mengenai aktiviti suami bersama rakannya itu.

"Kita masih mengesan abang kepada suspek pertama yang telah menyewa rumah pertama untuk siasatan lanjut. Maklumat mengatakan suspek kini berada di seberang," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan ganja yang dirampas adalah 22,279 gram bernilai RM55,697.

"Jumlah syabu yang dirampas adalah 61.5 gram bernilai RM6,150. Kita turut menyita sebuah Toyota Vios, motosikal KTN Duke dan Yamaha LC135 menjadikan jumlah keseluruhan dadah dan sitaan adalah RM151,047.

"Dadah yang dirampas itu, jika terlepas ke pasaran, ia boleh membekalkan kepada 44,558 penagih," katanya.

Tambahnya, ujian saringan air kencing kedua-dua lelaki positif manakala wanita berkenaan negatif.

"Suspek pertama tidak bekerja dan mempunyai empat rekod jenayah manakala isterinya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Lelaki kedua yang bekerja sebagai pencuci kereta mempunyai tujuh rekod jenayah.

"Kesemua mereka berasal dari Pulau Pinang direman sehingga 11 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952" katanya.