PEMUDAH bantu meningkatkan kecekapan kerajaan

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR- Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) berperanan penting untuk membantu kerajaan memperkukuh perundangan perniagaan dan meningkatkan kecekapan kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Pengerusi Bersama PEMUDAH berkata, ini adalah seiring dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 untuk meletakkan Malaysia antara sembilan ekonomi terbaik untuk sub-indeks Kecekapan Kerajaan dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa.

"Untuk melangkah ke arah status negara berpendapatan tinggi, kualiti kawal selia kita perlu lebih dipertingkat.

"Kawal selia kita perlu memiliki ciri-ciri berikut iaitu responsif dan tangkas ke arah keperluan semasa; telus dalam merumuskan dan menyampaikan; dan inklusif dan menyeluruh,” katanya dalam rakaman awal ucapan pembukaan bersempena Forum Ulang Tahun PEMUDAH Ke-15 hari ini.

Mustapa berkata pasukan petugas itu juga perlu memanfaatkan platformnya untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

Beliau berkata, melalui usaha PEMUDAH, Malaysia telah menunjukkan kemajuan dari segi kemudahan menjalankan perniagaan.

Menurutnya daya saing global Malaysia mencatatkan penambahbaikan pada tahun lepas dengan berada pada kedudukan ke-25 dalam kalangan 64 ekonomi dalam WCY berbanding ke-27 pada 2020.

"Melalui kerjasama dengan beberapa agensi teknikal dalam sektor pembinaan, PEMUDAH berjaya menyelesaikan lantukan kawal selia dan membolehkan perniagaan yang terkesan akibat Covid-19 untuk memulakan semula perniagaan lebih cepat.

Artikel Berkaitan:

"Pembabitan ini dianggarkan akan menjana penjimatan kos penyetujuan sebanyak RM1.75 bilion setahun,” katanya.

Bagi industri penjagaan kesihatan swasta, eksperimentasi kawal selia telah berjaya dilaksanakan untuk mengurangkan tempoh hospital swasta menerima lesen beroperasi daripada 800 hari kepada 300 hari.

"Dengan memanfaatkan teknologi digital dan lukisan sedia-dibina, ia bermatlamat untuk dikurangkan kepada 100 hari,” kata Mustapa.

Sementara itu, Pengerusi Bersama PEMUDAH Datuk Dr Andy Seo Kian berkata pembaharuan kawal selia yang pantas daripada PEMUDAH adalah tepat pada masanya untuk mempercepat proses pemulihan perniagaan dalam mengharungi situasi semasa.

"Kami menjadikan negara-negara terbaik dari segi daya saing global seperti Switzerland, Netherlands dan Hong Kong sebagai penanda aras.

"Mereka berkongsi ciri-ciri yang sama. Ekonomi paling berdaya saing memacu agenda pembaharuan kawal selia menerusi kerjasama sektor awam-swasta yang kukuh, mengamalkan pendekatan eksperimentasi kawal selia, dan menjalankan inisiatif mereka berdasarkan hasil dan data.

"Ini merupakan amalan yang dicontohi PEMUDAH untuk merangsang produktiviti dan daya saing,” kata Seo.

Sehubungan itu, beliau berkata PEMUDAH telah berkongsi harapan mereka mengenai eksperimentasi kawal selia bagi menggalakkan daya saing semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada November 2021 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat itu telah bersetuju bahawa semua kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan akan menyertai eksperimentasi kawal selia untuk menambah baik persekitaran perniagaan dan penyampaian kawal selia.

"2022 memperkukuh peranan PEMUDAH sebagai platform kerjasama sektor awam-swasta untuk menambah baik persekitaran perniagaan di negara ini.

"Baru-baru ini, keanggotaan PEMUDAH telah melalui perubahan susulan pelantikan ahli baharu daripada kerajaan dan industri agar sejajar dengan anjakan dinamik dalam ekonomi. Kami bersiap sedia untuk kecemerlangan pada masa depan,” kata Seo.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata kawal selia kualiti memerlukan kerjasama awam-swasta yang teguh dan memandang ke hadapan.

"Walaupun kita mungkin mempunyai perbezaan, matlamat kita adalah untuk membina Malaysia yang sejahtera dengan semua warganegara menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

"Kerajaan dan, secara keseluruhannya, perkhidmatan awam komited untuk meningkatkan, memperkukuh, dan memperbaharui penyampaian kawal selia dan perkhidmatan bagi mencapai matlamat ini,” katanya.

Mohd Zuki berkata integriti, ketelusan, dan kecekapan menjadi keutamaan dalam merealisasikan komitmen ini.

"Saya menggesa pegawai kerajaan, penggubal dasar dan pengawal selia untuk beralih daripada minda kawalan kepada minda memudahkan dalam melaksanakan tugas kita untuk berkhidmat kepada rakyat dan komuniti perniagaan,” katanya.- Bernama