Pasukan petugas khas diwujud tangani isu air di Kelantan, Sabah

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas dianggotai oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri bagi mencari penyelesaian berhubung masalah bekalan air di Kelantan dan Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pasukan petugas khas diberi masa seminggu untuk mengemukakan strategi segera bagi menyelesaikan isu tersebut.

Dalam masa sama katanya, Kelantan dan Sabah bersetuju menjalin kerjasama dengan persekutuan bagi menangani isu tersebut melalui persetujuan disuarakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mesyuarat khas yang berlangsung pada pagi Khamis.

Menurutnya, mesyuarat turut menetapkan beberapa tindakan segera dengan peruntukan dana disediakan Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Kelantan telah mengemukakan permohonan dana sebanyak RM8 bilion untuk pelaksanaan beberapa projek bekalan air bersih, namun ia perlu dibincangkan terlebih dahulu menerusi pasukan petugas khas sebelum diputuskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Madani Dalur Presint 18, dekat sini pada Khamis.

Beliau berkata, pasukan tersebut akan memperincikan keperluan dan syarat yang perlu dipatuhi seperti aspek pengurusan dan ketelusan dalam pelaksanaan projek berkenaan.

"Apa yang penting, daripada apa-apa pertimbangan lain adalah tanggungjawab kita memastikan rakyat memperoleh kemudahan air bersih dengan segera," katanya lagi

Anwar berkata, masalah bekalan air di Kelantan adalah lebih serius berbanding di Sabah apatah lagi keperluan kewangan sangat tinggi bagi pelaksanaan projek melibatkan masalah berkaitan.

Dalam hal itu, beliau meminta Kelantan memastikan aspek pengurusan lebih telus dan efisien dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan sekali gus menerima segala keputusan secara bersama.

"Kerajaan negeri tidak boleh lagi bekerja secara silo kerana memerlukan dana yang tinggi, jadi mereka perlu memastikan penyaluran bekalan air bersih benar-benar sampai kepada rakyat," ujar beliau.