Remaja jalan kaki 1,000 kilometer keliling Malaysia

Muhammad Yusof ketika ekspedisinya ke Mekah pada tahun 2018.
Muhammad Yusof ketika ekspedisinya ke Mekah pada tahun 2018.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang remaja mencabar diri untuk berjalan kaki sejauh 1,000 kilometer mengelilingi Malaysia menerusi satu ekspedisi yang dilakukan seorang diri, bermula Khamis depan.

Muhammad Yusof Abdullah, 23, berkata, ekspedisi kali ini akan bermula di Masjid Putra, Putrajaya selepas majlis bacaan Yasin dan doa selamat untuk dirinya jam 10 malam, pada Khamis.

Dia akan meneruskan perjalanan ke kawasan Pantai Timur, kemudian ke bahagian Utara hingga ke Perlis dan selepas itu ke Selatann Semenanjung serta Sabah dan Sarawak sebagai destinasi terakhir.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Che Lah mula menceburkan diri dalam kegiatan itu sebanyak 12 kali sejak tahun 2015, malah pernah berjalan kaki ke Mekah pada tahun 2018.

"Setakat ini perjalanan saya tidak ditaja oleh mana-mana pihak, tapi saya akan bawa bekalan seperti makanan, alatan memasak dan lain-lain seberat 40 hingga 50 kilogram.

"Berkemungkinan saya akan menulis novel untuk menceritakan perjalanan saya," kata anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu.

Katanya, tujuan ekspedisi kali ini bagi membuktikan kebolehan anak muda melakukan sesuatu di luar jangkaan, selain meneroka kawasan terpencil seperti kampung orang asli yang mungkin memerlukan bantuan ketika musim pandemik Covid-19 ini.

Mengakui bakal berdepan cabaran seperti cuaca tidak menentu dan ancaman haiwan liar, dia akan memastikan persiapan yang dibuat mencukupi dan selamat untuk perjalanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya akui akan mengalami masalah seperti cuaca yang tidak menentu, tapi sebelum ini saya dah pernah laluinya. Dulu saya pernah diserang gajah, tapir, babi hutan dan harimau.

"Jadi saya akan bawa peralatan untuk mempertahankan diri, tetapi saya akan maklumkan kepada pihak polis terlebih dahulu untuk mengelakkan salah sangka.

"Saya jangkakan ekspedisi ini akan tamat sebelum Ramadan bagi kawasan Semenanjung Malaysia, manakala Sabah dan Sarawak pula sebelum Syawal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Yusof berharap ekspedisi kali ini memberikan inspirasi kepada remaja lain untuk melakukan aktiviti berfaedah dan memberi manfaat kepada masyarakat.

"Saya harap ekspedisi kali ini dapat menyuntik semangat anak-anak muda untuk melakukan sesuatu yang berfaedah.

"Selain itu, saya ingin membantu tingkatkan industri pelancongan dengan meneroka kawasan berpotensi untuk dijadikan tarikan baharu industri tersebut," katanya.