'Pulih dahulu ekonomi negara sebelum naikkan kadar faedah'

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa memulihkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum menaikkan kadar faedah dijangka mendadak antara Julai dan Disember tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, kerajaan perlu bersedia awal dengan strategi khusus untuk mendorong ekonomi negara.

“Memandangkan tekanan inflasi semakin meningkat, kerajaan perlu mengumumkan satu pakej suntikan fiskal bersasar dalam masa terdekat untuk meningkatkan keyakinan pasaran dan merancakkan pertumbuhan makroekonomi.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memudahkan syarikat dan perniagaan mengembangkan operasi serta meningkatkan tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, ahli ekonomi firma penyelidikan pasaran, AmInvest Research memberitahu Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar faedah bermula separuh kedua tahun ini, dengan kemungkinan dua kali kenaikan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus setiap satu.

Beliau turut mengekalkan pandangan bahawa Amerika Syarikat (AS) dijangka menaikkan kos pinjamannya antara tiga hingga empat kali tahun ini dan akan terus berbuat demikian sehingga ia mencecah 2.50 hingga 2.75 peratus.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga perlu lebih serius menangani masalah kenaikan harga barang dalam mengekang inflasi.

“Sebagai contoh, penurunan 20 sen harga sekilogram ayam tidak banyak membantu rakyat dan tidak menunjukkan kesungguhan politik untuk membantu poket rakyat, tetapi lebih kepada poket tauke dan kroni,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pengangguran negara masih lagi tinggi di mana seramai 694,400 individu dikategorikan menganggur setakat November tahun lalu.

“Lebih kurang separuh daripada jumlah ini adalah golongan belia. Gaji graduan muda yang merosot ke bawah paras gaji minima berikutan pandemik, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan dijangka mengambil masa untuk pulih dan ini menimbulkan persoalan sama ada golongan graduan muda ini mampu menanggung kadar faedah yang lebih tinggi.

“Pada masa yang sama, banyak perusahaan kecil sederhana (PKS) masih bergelut dengan isu aliran tunai dan kumpulan ini juga akan terus terhimpit dengan kos pinjaman yang tinggi jika kadar faedah naik,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu memperkenalkan strategi khusus untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Insentif perlu diperkenalkan untuk menggalakkan syarikat-syarikat meningkatkan gaji pekerja tanpa mengalami tekanan aliran tunai yang lebih dahsyat.

“Bank-bank di Malaysia, terutamanya bank-bank milik kerajaan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agro Bank boleh menyediakan skim pinjaman khas dengan kadar faedah bersubsidi untuk golongan-golongan tertentu seperti graduan muda, usahawan dan petani,” katanya.