Projek jalan pesisir bantu kesesakan trafik di Labuan

Jalan pesisir pantai bernilai RM125 juta yang menghubungkan beberapa kampung dan kawasan perumahan ke pusat bandar bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Jalan pesisir pantai bernilai RM125 juta yang menghubungkan beberapa kampung dan kawasan perumahan ke pusat bandar bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas.
A
A
A

LABUAN - Kesesakan trafik yang sering berlaku dari Jalan Pohon Batu menuju pusat bandar dijangka berakhir dengan pembukaan jalan pesisir bernilai RM125 juta sepanjang 5.1 kilometer dari Kerupang ke Membedai, pada Selasa.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Ir Suhaizad Sulaiman berkata, pembukaan jalan itu akan meningkatkan kesalinghubungan di Labuan dan mengurangkan kesesakan di sepanjang Jalan Pohon Batu dan Tun Mustapha menuju pusat bandar.

Beliau berkata projek pembinaan jalan pesisir itu, yang bermula pada 19 Disember 2017 di bawah Rancangan Malaysia ke-11, akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna jalan raya di pulau bebas cukai tersebut seperti di Kampung Tanjung Aru, Nagalang serta Kerupang 1, 2 dan 3.

"Kesesakan trafik sepanjang lebih 5 kilometer mengecewakan pemandu yang menggunakan Jalan Pohon Batu dan Tun Mustapha untuk ke pusat bandar.

"Terdapat juga dakwaan sesetengah ibu bapa sering lewat ke pejabat atau menghantar anak mereka ke tadika serta sekolah susulan keadaan lalu lintas yang sesak teruk pada sebelah pagi, dan kini selepas projek jalan pesisir ini siap, kami harap ia akan banyak membantu,” katanya kepada Bernama.

Seorang penjawat awam, Ramlen Salleh, 50, berkata, penyiapan projek jalan pesisir itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang semakin memburuk sejak 15 tahun lepas.

"Pemandu terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya sepanjang 5 kilometer selama bertahun-tahun terutama ketika waktu puncak iaitu pada sebelah pagi atau sekitar 5 hingga 6 petang...kita perlu berterima kasih kepada para pegawai JKR kerana mempercepat pembinaan projek ini,” katanya.

Seorang lagi pemandu, Jainudin Djimin, 60, pula berkata, "Bagi kebanyakan penduduk tempatan, terpaksa menempuh kesesakan teruk di jalan raya pada setiap pagi dan lewat petang semasa berulang alik ke tempat kerja adalah perkara biasa...dan ia sesuatu yang mengecewakan.”

Artikel Berkaitan:

"Peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya setiap hari juga memburukkan lagi situasi trafik yang sudah terlalu sesak.

"Keadaan bertambah teruk jika hujan. Kesesakan jalan raya selepas waktu kerja sememangnya membimbangkan kami, terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil inisiatif untuk menambah baik jalan-jalan di Labuan,” katanya. - Bernama