Lebih 26,000 kes, 20 maut akibat denggi

Denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik Covid-19.
Denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik Covid-19.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 26,365 kes denggi dilaporkan sepanjang tahun lalu dengan 20 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah tersebut menunjukkan penurunan 70.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, 90,304 kes dan 145 kematian.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad lalu.

"Faktor utama penurunan kes denggi tersebut masih belum dapat ditentukan.

"Namun begitu denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai (NTDs) Sedunia yang disambut setiap 30 Januari.

Beliau berkata, berdasarkan data dan trend penyakit demam denggi sebelum ini, Bahagian Kawalan Penyakit KKM mendapati berlaku lonjakan kes demam denggi pada tahun 2010, 2015 dan 2019.

"Wabak denggi di Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan yang tinggi setiap empat hingga lima tahun kitaran," katanya.

Oleh yang demikian, Dr Noor Hisham berkata, kes demam denggi dijangka meningkat semula pada 2024 atau 2025.

Artikel Berkaitan:

"Insiden dijangkakan lebih tinggi daripada jumlah kes yang dicatatkan pada 2019," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, menyedari ancaman tersebut, kerajaan telah mewartakan penyakit denggi di bawah undang-undang Malaysia sejak 1988 sebagai penyakit wajib dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi memastikan respons pantas bagi pengesanan kes dan pengurusan vektor secara bersepadu.

Menurutnya, KKM juga telah menambah baik kaedah pemakluman kepada sistem berasaskan dalam talian, iaitu e-Notifikasi dan eDengue.

"Ini adalah bagi membolehkan pengawasan dilaksanakan dengan pantas serta tindakan yang segera boleh diambil oleh petugas-petugas di PKD," katanya.

Beliau berkata, dari segi aspek pengurusan vektor, Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang mengendalikan kawalan denggi dengan memanfaatkan kebaikan nyamuk Wolbachia sejak 2019 berikutan penemuan positif daripada kajian tempatan.

Jelasnya, KKM telah bekerjasama dengan Universiti Glasgow dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk membiak nyamuk Wolbachia sebelum dilepaskan ke kawasan sasaran.

"Setakat ini, sebanyak 22 lokaliti di Malaysia telah dipilih untuk menggunakan pendekatan ini.

"Terdapat pengurangan ketara kes denggi di lokaliti tersebut," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, penglibatan masyarakat juga dikenal pasti sebagai elemen penting dalam membendung pembiakan nyamuk dan seterusnya penularan penyakit denggi.

Ujarnya, pelbagai sesi penglibatan masyarakat diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman denggi dan memperkasakan peranan individu dalam pencegahan denggi di peringkat isi rumah.

"Bagi kawasan-kawasan berisiko tinggi, pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang terdiri daripada sukarelawan kesihatan tempatan ditubuhkan untuk menyelaraskan inisiatif pencegahan.

"Aktiviti gotong-royong mega diadakan dua kali setahun bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pengurangan punca pembiakan dan mengekalkan persekitaran bebas aedes," katanya.