Berkorban jaga adik hidap tumor

Mus Muliady sanggup berkorban tenaga dan masa demi memastikan adiknya Mohd Firdaus mendapat jagaan sebaiknya.
Mus Muliady sanggup berkorban tenaga dan masa demi memastikan adiknya Mohd Firdaus mendapat jagaan sebaiknya.
A
A
A

SERI MANJUNG - Kasih seorang abang terhadap adiknya yang terlantar selepas disahkan menghidapi tumor sejak 2017 tiada tolok bandingnya apabila sanggup berkorban menjaga adiknya itu.

Bagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bintara Kanan, Mus Muliady Mustaffa, dia tidak kisah berkorban masa dan tenaga menjaga adiknya Mohd Firdaus, 30, yang sudah tidak lagi mampu menguruskan dirinya sendiri.

Mus Muliady dan isterinya Siti Aishah Neizam, 34, menjaga Mohd Firdaus dengan penuh kasih sayang serta memberikan sepenuh perhatian dalam menguruskan keperluan harian adiknya itu yang mengalami minor strok bahagian sebelah kiri badan.

Menurut Mus Muliady, adiknya itu dikesan mempunyai tumor otak semasa menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh pada September 2017 selepas mengadu kerap sakit kepala dan hilang keseimbangan badan sejak Julai tahun sama.

"Adik saya sudah menjalani tiga pembedahan tahun lalu namun tumor berkenaan masih ada dan sekarang kami sedang menunggu keputusan Pemeriksaan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

"Menurut doktor sekiranya tumornya membesar kemungkinan adik perlu dibedah lagi kerana tumor tersebut turut mengganggu saraf mata, pendengaran dan sistem serta pergerakan tangannya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Manjung Point Seksyen 1, Seri Manjung.

Tambahnya, Mohd Firdaus juga tidak boleh bernafas secara normal dan menggunakan tiub ditekaknya untuk bernafas di samping terlantar dan mengharapkan pertolongan dia untuk menguruskannya.

Menurutnya, rutin hariannya sebelum keluar bekerja adalah menguruskan adiknya itu sebelum tugas itu diambil alih isterinya sepanjang dia bekerja.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak pernah menganggap menguruskan adik sebagai beban kerana tanggungjawab dan kasih sayang adik beradik itu melebihi segalanya, malah pesanan arwah emak yang mahu kami saling membantu sentiasa diingati.

“Adik terpaksa menggunakan tiub untuk minum serta bergantung dengan susu khas dengan memerlukan satu tin kecil sehari yang berharga kira-kira RM50 selain memakai lampin pakai buang," katanya.

Kasih seorang abang Mus Muliady mengurut adiknya Mohd Firdaus yang terlantar selepas menghidap tumor.
Kasih seorang abang Mus Muliady mengurut adiknya Mohd Firdaus yang terlantar selepas menghidap tumor.

Mus Muliady berkata, setiap bulan dia perlu membelanjakan sebanyak RM1,700 bagi membeli keperluan adiknya dan jumlah tersebut tidak termasuk kos ulang alik ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Seri Manjung.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana adik menerima pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di samping bantuan lampin pakai buang, susu dan beg kencing daripada mereka.

“Wang itu digunakan sepenuhnya untuk tambahan keperluan bulanannya dan setakat ini kami tak pernah lagi terputus bekalan keperluan dia mana yang tak cukup saya akan usaha juga,” katanya.

Katanya, dalam menghadapi dugaan itu dia bersyukur isterinya, Siti Aishah sentiasa memberi sokongan dan bersama-sama membantu menguruskan Mohd Firdaus selain bantuan rakan, jiran, majikan dan ahli keluarga termasuk bapa mereka.

Menurutnya, selagi hayat dikandung badan dan selagi ada daya dia akan menjaga adiknya dan doanya setiap hari diberikan kesihatan yang baik untuknya menjaga Mohd Firdaus.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank 1582-9376-1588 Mohd Firdaus Mustaffa.