Kasih adik jaga abang terlantar

Maslan (tiga dari kanan), Roslin Hisham (empat dari kanan) ketika menyantuni Abdul Razak (terlantar) dan Nor Aini (duduk, dua kanan).
Maslan (tiga dari kanan), Roslin Hisham (empat dari kanan) ketika menyantuni Abdul Razak (terlantar) dan Nor Aini (duduk, dua kanan).
A
A
A

JELEBU - Tidak pernah menganggap menguruskan abang terlantar sebagai beban kerana tanggungjawab dan kasih sayang adik melebihi segala-galanya.

Itu luahan anak bongsu daripada lapan beradik, Nor Aini Mohamad, 56, terhadap abang keduanya, Abdul Razak, 72, yang lumpuh separuh badan selepas diserang angin ahmar dua minggu lalu.

Katanya, abangnya itu merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan sebelum ini bekerja sebagai penoreh getah, kini terpaksa akur apabila diuji dengan penyakit berkenaan.

"Selepas abang terlantar kami adik-beradik sepakat menjaganya. Apalah sangat (menjaga abang) kalau dibandingkan dengan jasa abang sewaktu kami kecil sehinggalah masing-masing mendirikan rumah tangga.

"Kami bergilir-gilir menguruskan abang termasuk bermalam di rumah pusaka keluarga ini supaya abangnya tidak sendirian. Rezeki kami dapat menjaga darah daging sendiri," katanya kepada pemberita pada Program Kesejahteraan Komuniti Malaysia Madani Peringkat Daerah Jelebu di Kampung Kuala Pah, di sini pada Selasa.

Turut serta Pengarah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Hisham Abd Hamid, dan Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin itu.

Program anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, MKN dan JKM itu menyerahkan sumbangan bakul rahmah kepada 30 penerima yang memerlukan.

Nor Aini, bersyukur apabila abangnya itu mendapat sumbangan katil boleh laras, lampin pakai buang dan lain-lain keperluan dalam program berkenaan atas keprihatinan pihak terlibat sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan mereka.

Sementara itu, Roslin Hisham berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Madani bagi menyantuni individu memerlukan serta memberikan sokongan sosial terhadap keperluan golongan tersebut.

"Kita sebelum ini adakan program yang sama di Seremban dan kini di Jelebu dengan lokasi tumpuan di Klawang serta Chennah. Selepas ini program yang sama akan diadakan di Kuala Pilah," katanya.