Umpama pikul sekampit beras ke sekolah

Murid terpaksa menggalas beg yang berat ke sekolah sehingga ada yang mencecah 10kg. -Foto: Ihsan pembaca
Murid terpaksa menggalas beg yang berat ke sekolah sehingga ada yang mencecah 10kg. -Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah perasaan penulis apabila melihat murid-murid terpaksa menggalas beg yang berat ke sekolah. Bayangkan, kanak-kanak usia sebegitu terpaksa memikul bebanan beg sehingga ada yang mencecah 10 kilogram (kg).

Mungkin ada yang mendakwa budak-budak zaman sekarang manja dan lembik. Namun, secara peribadi, penulis membayangkan kanak-kanak itu umpama terpaksa memikul sekampit beras 10kg ke sekolah setiap hari.

Ini bukan isu baharu, sebaliknya telah lama kedengaran. Pada tahun 2018, laporan kajian akhir Kajian Penilaian Beg Berat Murid Sekolah dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan beg sekolah yang dibawa murid setiap hari sememangnya berat.

Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk P Kamalanathan berkata, kajian itu menyarankan sekolah mengikut standard antarabangsa iaitu tahap beban beg mestilah mengikut berat badan dan umur murid.

Ketika Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menjadi Menteri Pendidikan, beliau memberitahu kerajaan akan melaksanakan tiga langkah segera bagi menangani isu beg berat. Ia termasuk mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) dan Surat Siaran sedia ada berkuat kuasa pada Januari 2019.

Menurutnya, tidak boleh ada buku tambahan dan mengurangkan kebergantungan kepada buku teks merupakan antara contoh arahan perlu dipatuhi dalam surat terbabit.

Bagaimanapun, selepas empat tahun laporan akhir kajian itu, isu beg sekolah berat masih kedengaran dan tidak juga selesai.

Baru-baru ini, isu berkenaan kembali hangat apabila tular video memaparkan seorang murid perempuan di sebuah sekolah rendah yang hampir terjatuh ketika menaiki tangga ke tingkat atas akibat membawa beg yang berat.

Artikel Berkaitan:

Pada pengamatan penulis berdasarkan video tersebut, murid berkenaan mempunyai tidak kurang empat atau lima mata pelajaran wajib sehari.Untuk satu subjek, murid perlu membawa beberapa jenis buku seperti buku teks dan buku tulis.

Untuk satu subjek, ada tiga hingga lima buku. Ini bermakna terdapat 20 buku dalam beg tersebut. Lagi banyak mata pelajaran, maka lagi banyaklah buku pada hari tersebut. Murid berkenaan terpaksa membawa semua buku kerana tidak tahu mana yang akan digunakan. Itu belum termasuk alat tulis dan bekas makanan.

Penggunaan lokar

Untuk mengatasi masalah ini, penggunaan lokar harus disegerakan dan diperluaskan di semua sekolah. Seperti mana dilakukan Sekolah Menengah Teknik Pendang (STEP) di Pokok Tai, Pendang ketika penulis belajar di sana sebelum ini.

Walaupun kini hanya tinggal kenangan apabila sekolah itu dijadikan Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah, namun penulis tidak pernah lupa kemudahan disediakan apabila tidak perlu mengusung beg berat sepanjang dua tahun belajar di sekolah tersebut. Kami membawa pulang buku tertentu atau diperlukan sahaja.

Ia mungkin sukar dilaksanakan di semua sekolah kerana kekangan ruang serta kos. Bagaimanapun, ada inisiatif lain diambil beberapa pihak yang dilihat amat bernas dalam mengatasi isu beg sekolah berat ini.

Misalnya, langkah menyediakan kotak plastik mudah alih dilakukan Sekolah Kebangsaan (SK) Serting Ulu di Jempol, Negeri Sembilan boleh dicontohi sekolah-sekolah lain.

Selain itu, penggunaan sepenuhnya aplikasi KPM eTextbook Reader yang dibangunkan KPM menerusi Perbadanan Kota Buku (PKB) memudahkan murid mendapatkan buku teks sekolah secara digital pada bilabila masa juga membantu.

Bagaimanapun, jika penggunaan lokar, kotak mudah alih atau KPM eTextbook Reader pun tidak mampu dilaksanakan, sekurang-kurangnya dengarlah saranan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Dr Anuar berkata, berat beg sekolah yang digalas murid perlulah hanya sekitar 10 atau 20 peratus berbanding berat badan murid.

Tidak perlu menuding jari menyalahkan orang lain dalam isu ini. Sebaliknya sama-samalah cari jalan penyelesaian segera.

* Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian