Tindakan Mazlan letak jawatan, keluar parti adalah langkah politik

Mazlan (tiga dari kanan) pada sidang media mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti pada Khamis. - Foto Bernama
Mazlan (tiga dari kanan) pada sidang media mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan bekas Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang meletakkan jawatan dan keluar daripada parti dipercayai merupakan satu langkah politik.

Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Kamaruzzaman Abu berkata, seharusnya Mazlan mengambil tindakan itu lebih awal sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, Mazlan juga telah berulang kali menolak untuk menjadi calon kerusi Ahli Parlimen Tebrau dan DUN Tiram sejak 1 Januari lepas, untuk persediaan bahagiannya itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu sebelum pengumuman PRN.

"Kalau kata tidak ada kepercayaan (terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) kenapa tidak bertindak keluar lebih awal daripada yang berlaku sekarang. Apabila berlaku PRU atau PRN, maka berlaku perkara seperti ini (keluar parti),” katanya pada sidang media di sini malam ini.

Sementara itu, Kamaruzzaman turut mempersoalkan mengenai kenyataan Mazlan bahawa seramai 23 ahli jawatankuasa Bersatu Tebrau turut sama mengikut jejak langkah keluar parti, serta meletakkan jawatan.

Beliau berkata, hal ini berikutan hanya enam sahaja ahli jawatankuasa yang berbuat demikian, dan setakat ini Bersatu Bahagian Tebrau mempunyai seramai 3,425 ahli melibatkan sebanyak 17 cawangan.

Kamaruzzaman berkata, meskipun kecewa dan kesal atas tindakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu, pimpinan Bersatu Bahagian Tebrau tetap teguh dan setia bersama parti di bawah pimpinan Muhyiddin.

Pada Khamis lepas, Mazlan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor itu dipetik sebagai berkata turut sama meletakkan jawatan ialah 22 Ahli Jawatankuasa Bersatu Tebrau. - Bernama