PRN Melaka: 'Video saya dimanipulasi dengan niat jahat' - Calon PH Tanjung Bidara

MASJID TANAH - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Mohd Yunazri Mustamiri mendakwa video tular memaparkan dirinya berkelakuan tidak sopan ketika berkempen telah dimanipulasi dengan persepsi negatif dan niat jahat.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika beliau menghadiri jemputan komuniti masyarakat Cina untuk menyampaikan ucapan ringkas dan memberikan kata-kata semangat kepada golongan muda.
Menurutnya, ketika itu beliau diminta naik ke atas kerusi untuk berucap dalam suasana majlis yang sedang berlangsung sambil para tetamu menikmati hidangan.
"Saya ada menyebut perkataan 'boleh minum' dan ketika itu terdapat tetamu di bahagian belakang mengangkat cawan kerana ingin minum.
"Jadi, saya memberhentikan ucapan selama beberapa minit dan mempersilakan mereka untuk minum," katanya dalam satu video penjelasan yang dimuat naik.
Mohd Yunazri berkata, kehadirannya dalam majlis berkenaan adalah atas jemputan komuniti terbabit dan beliau turut menyantuni masyarakat pelbagai kaum termasuk masyarakat India.
Malah, katanya, beberapa calon daripada parti politik lain turut dijemput menghadiri majlis komuniti Cina yang berlangsung selama tiga hari itu.
Beliau bagaimanapun memohon maaf sekiranya tindakannya dalam video berkenaan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
“Saya selaku orang baru memohon maaf atas ucapan yang tidak senang dan mudah dimanipulasi lagi selepas ini.
“Akhir kata saya saya ucapkan terima kasih. Saya Yunazri Mustamiri calon nombor satu DUN Tanjung Bidara,” katanya.
Terdahulu, tular video yang memaparkan calon PH itu berdiri di atas kerusi sebelum menyebut perkataan 'boleh minum' ketika berucap di hadapan masyarakat Cina sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Video berkenaan mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sopan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

