'Saya pilih pertahankan parti, tolak beberapa tawaran' - Kamarudin

Kamarudin semasa sidang media di Kota Bharu pada Rabu.
Kamarudin semasa sidang media di Kota Bharu pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor memilih untuk terus mempertahankan parti itu meskipun menerima beberapa tawaran supaya beliau kekal bersama kerajaan negeri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab untuk terus mengemudi Bersatu Kelantan, terutama ketika parti berkenaan sedang membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, beberapa pihak pernah mengemukakan cadangan supaya beliau terus bersama kerajaan negeri, namun beliau memilih untuk tidak meninggalkan parti yang dipimpinnya ketika ini.

"Apabila diberi beberapa pilihan, saya memilih untuk terus menjaga parti kerana itu tanggungjawab saya sebagai ketua parti.

"Parti memerlukan saya sekarang, lebih-lebih lagi menjelang PRU yang tidak lama lagi," katanya semasa sidang media pada Rabu.

Kamarudin memberitahu, beliau menyedari keperluan untuk menyediakan barisan kepimpinan pelapis, namun berpendapat kemampuan pemimpin sedia ada masih belum mencapai tahap untuk mengambil alih tanggungjawab mengemudi parti itu di Kelantan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak menganggap dirinya sebagai individu yang tidak boleh digantikan dan berharap pemimpin lebih muda serta berkeupayaan dapat mengambil alih kepimpinan pada masa akan datang.

"Kalau tanya saya, saya lebih suka orang muda yang bertenaga dan mempunyai keupayaan mengambil alih kepimpinan.

"Saya sudah beritahu mereka supaya membuat persediaan untuk mencari pengganti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kemungkinan beliau terus menerajui Bersatu Kelantan pada PRU16, ujar Kamarudin, perkara itu belum diputuskan dan keutamaannya ketika ini adalah memastikan parti itu terus kukuh.

Jelasnya, sebarang cadangan yang memerlukan persetujuan kepimpinan parti di peringkat pusat perlu melalui proses rundingan, namun beliau tidak mahu meninggalkan tanggungjawabnya terhadap Bersatu Kelantan ketika ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!