[VIDEO] Kualiti udara tapak pelupusan sampah Pulau Burung tidak sihat

Kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini mencatatkan kualiti udara semakin buruk pada Sabtu. - Foto Bernama
Kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini mencatatkan kualiti udara semakin buruk pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kawasan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini mencatatkan kualiti udara semakin buruk dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang meningkat pada Sabtu.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati kualiti udara di tapak pelupusan sampah itu dari jam 7 pagi Sabtu, IPU menunjukkan 103 iaitu meningkat sehingga 128 pada jam 3 petang ini.

Stesen IPU di kawasan tapak pelupusan sampah itu dibuka khusus untuk mencerap kualiti udara ekoran kejadian kebakaran tersebut, ia juga merupakan satu-satunya stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara.

Tinjauan Bernama mendapati situasi jerebu sederhana juga dilihat berlaku di seluruh Pulau Pinang ketika ini termasuk di sekitar pusat bandar Georgetown dengan jarak penglihatan yang agak terhad dan menurun.

Berdasarkan APIMS juga menunjukkan empat lagi stesen IPU di Pulau Pinang setakat jam 3 petang Sabtu, merekodkan bacaan pada tahap sederhana iaitu Seberang Jaya (88) dan Seberang Perai (75) di bahagian tanah besar manakala Minden (74) dan Balik Pulau (72) di kawasan pulau.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, peratusan kebakaran ketika ini ialah sebanyak 31 peratus daripada lebih 11 hektar kawasan kebakaran melibatkan tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

Katanya, usaha memadam kebakaran giat dijalankan dengan kerja-kerja pemadaman melibatkan pancutan air dan tambakan tanah membabitkan kerjasama pelbagai agensi antaranya pihak bomba, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Bomba Sukarela dan syarikat pengurusan tapak pelupusan sampah itu iaitu Syarikat PLB Terang.

"Berdasarkan pemantauan, kebakaran masih berlaku di lapisan bawah namun ia (kebakaran) dapat dikawal dan pemantauan masih dilakukan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) memaklumkan ketika ini sektor 1, 2 dan 4 telah berjaya dipadamkan sepenuhnya, manakala kerja pemadaman dan pengawalan masih dilakukan di sektor 3 dan 5 dengan menggunakan pelbagai kaedah dan alat pemadaman, namun secara keseluruhan kebakaran adalah terkawal.

Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dilapor berlaku pada 12 Januari lepas kira-kira jam 5 petang dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Januari, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah. - Bernama