Penyaman udara semakin laku di pasaran ketika musim kemarau

Gambar hiasan - Foto Awani
Gambar hiasan - Foto Awani
A
A
A

MELAKA - Cuaca panas berikutan perubahan monsun yang berlaku ketika ini mendorong orang ramai memasang penyaman udara di kediaman masing-masing sekali gus menaikkan jualan alat elektrik berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata kedai menjual perkakas elektrik menerima keuntungan berganda hasil jualan penyaman udara ketika musim kemarau ini berbanding bulan lain.

Jurujual perkakas elektrik, Janice Ooh, 37, berkata, penjualan penyaman udara di premisnya meningkat 10 hingga 20 peratus pada bulan ini sahaja berikutan keadaan cuaca panas.

"Pelanggan tidak teragak-agak untuk membuat pembelian seunit penyaman udara yang dijual bermula dengan harga RM900 berbanding hanya melihat sahaja barangan elektrik itu sebelum ini," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Pengurus kedai elekrik di Jalan Perindustrian Bachang Baru Mohd Zamri Hamzah berkata, penjualan penyaman udara di kedainya turut meningkat beberapa peratus berbanding bulan lepas.

"Sebanyak 30 unit penyaman udara terjual sepanjang Ramadan lepas. Selain menyejukkan rumah, perkakasan elektrik tersebut kini ada yang dilengkapi teknologi terkini yang mampu membekalkan lebih banyak oksigen di dalam rumah.

"Teknologi tersebut amat baik untuk persekitaran dan amat sesuai digunakan ketika musim kemarau ini," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan Husairi Ujang, 46, berkata, beliau membeli tiga unit penyaman udara sebagai langkah persediaan menghadapi musim kemarau pada tahun ini.

"Waktu siang memang kena buka penyaman udara, nak solat dalam bilik pun memang berpeluh kalau tak buka (penyaman udara).

"(Waktu) siang saya terpaksa buka dua penyaman udara kerana cuaca sekarang memang panas dan kalau dikira kos, purata bil (elektrik) rumah saya sebulan RM200," katanya. - Bernama