Pas tidak minta sedekah kerusi PRN Johor: Abdul Hadi

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

MARANG - Pas bukan parti yang lemah sehingga perlu menjadi peminta sedekah dalam mendapatkan kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas mempunyai kekuatan sendiri dan parti itu belum menentukan jumlah dan lokasi kerusi yang akan ditandingi di Johor.

"Itu belum ditentukan. Tapi dia beri khabar angin Melaka beri dua kerusi, Johor empat kerusi sedangkan belum ada rundingan.

"Tak kan kita minta sedekah kerusi-kerusi ini. Pas tidak minta sedekah kerana Pas ada kekuatan sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Mengesahkan Pas akan bertanding dalam PRN Johor, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas tidak perlu menjadi pengemis kerana parti itu mempunyai kekuatan yang tersendiri khususnya dari segi jumlah jentera.

Jelas beliau, keahlian Pas kini adalah seramai satu juta orang dengan 800,000 ahli aktif dan daripada 222 kawasan Parlimen, parti itu mempunyai jentera di 197 kawasan.

"Kita buktikan melalui banjir di Selangor, Pahang dan Johor. Jentera jentera Pas turun padang membantu menyiapkan rumah yang rosak satu malam. Ini kekuatan jentera kita dan masing masing ada kekuatan sendiri," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pas menafikan dakwaan kononnya parti itu menolak tawaran kerusi oleh UMNO kerana lebih tertarik dengan tawaran Bersatu yang dikatakan menawarkan lebih banyak kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Artikel Berkaitan:

Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Negeri Johor, Abdullah Husin berkata setakat ini, belum ada rundingan atau perbincangan dibuat bersama UMNO Johor berhubung pengagihan kerusi bagi PRN Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apatah lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia susulan video tular baru-baru ini yang memaparkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohamad mempersoal kejujuran Pas dalam MN selepas parti itu didakwa menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan dikatakan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.