Kerajaan putus tidak naik tarif elektrik lebih 9 juta pengguna

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerajaan membuat keputusan untuk tidak menaikkan tarif elektrik untuk sembilan juta pengguna domestik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga akan terus memberikan subsidi sebanyak RM700 juta agar para pengguna tidak terkesan.

“Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektif lebih sembilan juta pengguna domestik.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan akan melaksanakan kadar tarif elektrik baharu bagi tempoh 2022 sehingga 2024, berkuat kuasa 1 Februari ini.

Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan menjelaskan, kerajaan pada 26 Januari telah bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna-pengguna domestik di Semenanjung untuk Tempoh Kawal Selia bermula pada 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024 di bawah mekanisme IBR.

Menurut kenyataan itu, kadar tarif tersebut telah digunakan sejak 1 Januari 2014 apabila mekanisme IBR diperkenalkan sebagai dasar baru dalam penetapan tarif elektrik.

“Keputusan ini juga terpakai kepada pengguna komersial dan industri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Suruhanjaya Tenaga, bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion ekoran daripada kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran sehingga mencecah AS$200 per tan.

Sehubungan itu, di bawah mekanisme Laluan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) yang disemak setiap enam bulan, kerajaan telah memutuskan dua perkara.

“Bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022 pelaksanaan pelarasan tarif elektrik pertamanya adalah pemberian rebat dua sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna-pengguna domestik di Semenanjung.

“Kedua, pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri,” ujarnya.

Suruhanjaya Tenaga berkata, bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut.

“Di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat.

“Kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45 peratus dan memberi impak yang besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59 peratus sumber penjanaan adalah arang batu.

“Peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global,” jelasnya.

Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih 9 juta pengguna domestik.

Sehubungan dengan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan. pic.twitter.com/a5OVfNEgiR

— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) January 28, 2022