Saringan kendiri, vaksinasi mampu kurangkan kluster pendidikan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Melakukan ujian saringan kendiri RTK Antigen sebelum hadir ke sekolah atau institusi pendidikan akan membantu pengesanan awal jangkitan Covid-19 sekali gus mengelak peningkatan atau tercetusnya kluster pendidikan di negara ini.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, ujian itu mungkin akan melibatkan perbelanjaan yang besar, justeru kerajaan juga perlu mempertimbangkan subsidi untuk pembelian peralatan ujian berkenaan.

"Ujian kendiri elok diadakan tetapi tidaklah setiap hari kerana harganya agak mahal terutama kepada keluarga berpendapatan rendah.

"Selain itu, pemberian vaksin kepada golongan remaja adalah langkah yang baik dan mungkin boleh diberikan secara berperingkat dengan persetujuan ibu bapa," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Beliau juga mencadangkan pihak sekolah mengadakan perbincangan lebih kerap dengan Kementerian Kesihatan kerana kerjasama itu akan dapat meningkatkan lagi langkah keselamatan di sekolah seperti mengasingkan dan kuarantin pelajar yang didapati positif supaya tidak menjejaskan pelajar lain.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 107 kluster Covid-19 dalam kategori pendidikan direkodkan mulai 1 Jan hingga 25 Januari lepas, melibatkan 4,633 kes dan peningkatan ketara itu dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan tahun ini berbanding sesi persekolahan pada 2021.

Selain itu, tujuh kluster melibatkan institusi pendidikan pula dikesan di Sabah sejak minggu lepas berdasarkan saringan kontak rapat dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam kalangan penghuni asrama di enam sekolah di negeri itu.

Turut senada ialah Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hasan yang mencadangkan agar Ujian RTK terhadap pelajar dan guru dengan kos ditanggung oleh kerajaan dilakukan supaya memudahkan pelajar, guru dan kakitangan sekolah memeriksa status kesihatan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mencadangkan agar pemantauan dan pemeriksaan terhadap keseluruhan kadar vaksinasi pelajar di sekolah dilaksanakan bagi mengenalpasti jumlah pelajar yang telah divaksin kerana ia boleh mengurangkan kadar jangkitan.

"Pemantauan secara berkala, ad-hoc, mengejut di asrama supaya tiada kecuaian. Jika lalai dan tidak patuh prosedur operasi standard (SOP), mungkin sistem denda perlu diperkenalkan. Pemantauan ini harus dilakukan tiga hari berturut-turut selepas sekolah dikenalpasti dengan gejala Covid-19 atau mempunyai kes dilaporkan," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang pula berkata, bagi memastikan kluster pendidikan tidak terus meningkat, ibu bapa perlu memainkan peranan berkesan dengan memastikan hanya menghantar anak mereka ke sekolah jika benar-benar sihat.

Beliau berkata, di pihak sekolah, NUTP yakin bahawa proses penguatkuasaan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan pengawalan aktiviti mengelakkan pelajar bersentuhan dijalankan dengan rapi, namun cuma terdapat sedikit kekangan memastikan pelajar berada dalam jarak lebih satu meter sesama mereka di luar kelas.

"Jika keadaan benar-benar kritikal, kami mohon agar semua pihak akan saling memudahkan proses untuk penutupan sekolah secara fizikal demi kebaikan bersama," katanya sambil menzahirkan keyakinan bahawa kadar penyebaran dan jangkitan di sektor pendidikan dapat diturunkan berikutan penutupan sekolah sempena Tahun Baharu Cina mulai esok.

Aminuddin berkata, walaupun semua sekolah menengah kini dalam persiapan memastikan setiap calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 menghabiskan sukatan pelajaran menjelang Mac ini, beliau berharap pematuhan SOP tetap diberi keutamaan. - Bernama