119 institusi pendidikan agama sudah berdaftar di bawah MUIP

Asmadi (tengah) bersama wakil daripada institusi pendidikan agama di Pahang menerima surat kelulusan berdaftar daripada MUIP pada majlis penyerahan surat kelulusan yang diadakan di Dewan Syarahan Ibu Pejabat MUIP Pekan. (Pix MUIP)
Asmadi (tengah) bersama wakil daripada institusi pendidikan agama di Pahang menerima surat kelulusan berdaftar daripada MUIP pada majlis penyerahan surat kelulusan yang diadakan di Dewan Syarahan Ibu Pejabat MUIP Pekan. (Pix MUIP)
A
A
A

PEKAN - Sebanyak 119 intitusi pendidikan agama sudah menerima surat kelulusan berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP ) berdasarkan rekod terkini tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, jumlah tersebut termasuk 10 institusi yang baharu menerima kelulusan pendaftaran pada 21 Julai lalu.

"Enam sekolah berdaftar di bawah kategori Maahad Tahfiz, tiga lagi SAR (Sekolah Agama Rakyat) dan KAFA (Kelas Agama dan Fardu Ain), sebuah sekolah rendah serta dua tadika.

"Kelulusan yang diberikan selepas lawatan dibuat pegawai yang dilantik oleh MUIP bagi menyemak dan menilai kurikulum serta pengoperasian sekolah tersebut sebelum diluluskan oleh jawatankuasa," katanya pada Rabu.

Asmadi
Asmadi

Sebelum itu, majlis penyerahan surat kelulusan yang diadakan di Dewan Syarahan Ibu Pejabat MUIP, Pekan dihadiri kira-kira 25 orang terdiri daripada pengetua, guru besar dan ahli jawatankuasa sekolah maahad tahfiz, madrasah, SAR dan KAFA serta tadika swasta.

Majlis dimulakan dengan Taklimat Pengurusan Pendaftaran yang disampaikan Mohd Azri Salehud-din selaku Ketua Unit Pendidikan MUIP.

Asmadi memberitahu kesemua sekolah terbabit sudah mendapat sokongan pihak berkuasa tempatan terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang.

"Kita berharap pihak sekolah dapat mematuhi peraturan dan sentiasa menjaga imej institusi agama terutama dalam aspek pendidikan, keselamatan serta seumpamanya," ujarnya.

Menjawab mengenai jumlah permohonan yang masih belum diluluskan, beliau berkata, setakat ini, terdapat 73 lagi permohonan masih belum diluluskan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dilakukan secara berperingkat dan mengambil masa kerana ia perlu mematuhi beberapa prosedur yang telah digariskan.

Dalam pada itu, Asmadi menegaskan, pendaftaran institusi pendidikan agama penting bagi memastikan silibus mereka mematuhi piawaian ditetapkan.

Malah,MUIP turut menyalurkan bantuan kepada sekolah yang berdaftar seperti skim bantuan dermasiswa pelajar, saguhati penghafaz al-Quran, bantuan elaun kelas al-Quran kanak-kanak, skim bantuan am pendidikan dan sebagainya berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan