Putera Andrew minta dibicarakan oleh juri kes penderaan seksual

Putera Andrew. - Foto AFP
Putera Andrew. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Putera Andrew minta perbicaraan oleh juri bagi membersihkan namanya daripada dakwaan penderaan seksual, berdasarkan satu dokumen undang-undang, lapor Agensi Anadolu memetik laporan media British pada Rabu.

Dokumen setebal 12 muka surat merupakan respons rasmi pertama Putera Andrew terhadap tuntutan sivil Amerika Syarikat (AS) yang dikemukakan oleh Virginia Robert Giuffre terhadapnya, Putera Andrew bertindak menafikan perenggan demi perenggan terhadap 73 tuntutan terhadapnya, menyangkal "sebarang dan semua salah laku."

Duke of York, 61, juga menyenaraikan 11 sebab mengapa kes itu harus ditolak, termasuk status domisil Giuffre dan 'kelakuan buruknya sendiri'.

Di akhir dokumen itu dinyatakan: "Putera Andrew dengan ini menuntut perbicaraan oleh juri atas semua pertuduhan yang dinyatakan dalam tuntutan itu."

Putera Andrew juga menimbulkan keraguan terhadap sekeping gambar menunjukkan putera raja itu memegang pinggang Giuffre, serta menafikan berkawan rapat dengan Ghislaine Maxwell yang baru disabitkan dengan kesalahan pemerdagangan seks.

Giuffre, 38, memfailkan aduan di AS pada Ogos lalu, dan mendakwa beliau didera secara seksual atau dirogol putera raja itu sebanyak tiga kali pada waktu berasingan antara 2000 dan 2002, ketika berumur bawah 18 tahun.

Giuffre bertindak menyaman Putera Andrew bagi kesalahan itu.

Sebelum ini, Putera Andrew gagal membatalkan kes itu di mahkamah, dan hakim AS membenarkan kes itu diteruskan. Sejurus selepas itu, Ratu Elizabeth melucutkan semua pangkat ketenteraan dan gelaran diraja beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: