Nenek guna AI menyamar doktor muda, tipu lelaki RM100,000

BEIJING – Seorang wanita berusia 65 tahun menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyamar sebagai doktor muda sebelum memperdaya seorang lelaki sehingga mengalami kerugian kira-kira 170,000 yuan (RM100,000).
Wanita dikenali sebagai Yu Xiuzhen, turut menggunakan AI untuk menyamar sebagai 'ibu' kepada watak doktor berkenaan bagi meyakinkan mangsa, Liu Hui, bahawa hubungan mereka mendapat restu keluarga.
Hui, seorang kontraktor di Shanghai, mula berkenalan dengan Xiuzhen menerusi media sosial pada 2021.
Wanita itu mendakwa dirinya doktor di sebuah hospital ternama di Shanghai serta mempunyai kaitan dengan projek pembinaan hospital, menyebabkan mnagsa percaya hubungan itu mampu membuka peluang perniagaan.
Namun, Xiuzhen sentiasa mengelak bertemu secara bersemuka atau membuat panggilan video.
Mangsa kemudian diperdaya untuk menyerahkan 170,000 yuan dalam tempoh lima bulan selepas 'ibu' wanita berkenaan meminta Hui menyediakan wang hantaran 300,000 yuan dan membeli rumah di Shanghai.
Selepas peluang perniagaan yang dijanjikan tidak direalisasikan, lelaki itu membuat laporan polis.
Siasatan mendapati Xiuzhen sebenarnya bekerja sebagai tukang cuci di hospital berkenaan dan mempunyai rekod sabitan penipuan.
Lebih mengejutkan, ibu sebenar wanita itu telah meninggal dunia, manakala watak ‘ibu’ yang berkomunikasi dengan mangsa turut dihasilkan menerusi penyamaran menggunakan AI.
Wang diperoleh digunakan untuk membiayai pembedahan kosmetik, produk penjagaan kulit dan pakaian baharu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

