Nenek diusir dari rumah didiami selama 71 tahun

MADRID - Pihak berkuasa pada Rabu mengusir seorang wanita berusia 87 tahun dari kediaman yang didiaminya selama lebih tujuh dekad, meskipun ratusan orang berhimpun membantah tindakan itu, malah kerajaan turut mengkritik arahan pengusiran yang mencetuskan perhatian terhadap krisis perumahan di Sepanyol.
Maricarmen Abascal hanya diberikan tempoh 30 minit untuk mengosongkan rumahnya di Madrid dengan membawa barangan keperluan sebelum dia dibawa keluar dari bangunan itu menggunakan pengusung.
Dia kemudiannya dibawa menaiki ambulans dengan diiringi pegawai perkhidmatan sosial, ketika demonstran melaungkan, 'Maricarmen, anda tidak keseorangan!'
Langkah tiada belas kasihan itu turut mencetuskan ketegangan di luar bangunan apabila polis bertindak mengheret dan menolak beberapa penunjuk perasaan yang menghalang pintu masuk.
Sehari sebelum itu, Abascal memberitahu petugas media, 'saya sudah tinggal di sini selama 71 tahun dan saya tidak mahu pergi'.
Kejadian itu menggambarkan tekanan yang semakin menghimpit penyewa jangka panjang di bandar-bandar utama Sepanyol ketika kenaikan sewa, gentrifikasi dan kekurangan kediaman mampu milik terus menyumbang kepada ketegangan sosial serta politik.
Pangsapuri di kawasan mewah Retiro itu dimiliki sebuah dana pelaburan yang berusaha menaikkan kadar sewa secara mendadak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

