Jenazah bekas Hakim Besar Sabah, Sarawak pertama selamat dikebumikan

Dayang Farezah Abang Mustapha ditemani anaknya Hazim Izzuddin Jumaat (kanan) menyiram air di pusara bapa saudaranya, Mohamad Jemuri di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Jawa, pada Rabu. Foto Bernama
Dayang Farezah Abang Mustapha ditemani anaknya Hazim Izzuddin Jumaat (kanan) menyiram air di pusara bapa saudaranya, Mohamad Jemuri di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Jawa, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Jenazah bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang pertama Tan Sri Mohamad Jemuri Serjan, 95, yang meninggal dunia pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Jawa, Kuching pada 3 petang Rabu.

Van yang membawa jenazah Mohamad Jemuri tiba di tanah perkuburan itu kira-kira 1.50 tengah hari dan urusan pengebumian dilaksanakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut anak saudaranya, Jumaat Ibrahim, 57, Mohamad Jemuri meninggal dunia di Pusat Pakar Perubatan Normah di sini kerana sakit tua sekitar 8.30 pagi Rabu.

"Sepatutnya arwah sudah dibenarkan keluar wad semalam tetapi susulan keputusan ujian darah beliau belum diperoleh, doktor menunda hari ini,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Mohamad Jemuri merupakan Ketua Hakim Borneo yang kelima dan terakhir dengan jawatan itu disandangnya dari 11 Mac 1991 hingga 23 Jun 1991, sebelum dilantik menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang pertama pada 24 Jun hingga 9 September 1994.

Perjalanan karier beliau sebagai pengamal undang-undang bermula sebagai Majistret pada 1 Jun 1965 sebelum dilantik sebagai Penolong Peguam Negara pada 8 November 1966.

Mohamad Jemuri kemudian dilantik sebagai Peguam Besar Negeri Sarawak pada 1973 dan memegang jawatan itu sehingga bersara pada 1984.

Beliau bagaimanapun telah ditawarkan semula jawatan kontrak sebagai Hakim Mahkamah Agung pada 31 Disember 1989 sebelum menjadi Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang pertama sehingga bersara semula pada 9 September 1994.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham mempunyai empat adik-beradik dan beliau merupakan satu-satunya anak lelaki kepada pasangan Serjan Wakijan dan Jede Othman dan tidak pernah mendirikan rumah tangga. - Bernama