Tempoh kajian semula persempadanan Tanah Melayu berakhir 9 Mac – Azalina

AZALINA
AZALINA
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kajian semula persempadanan bagi Sabah dan Sarawak telah berakhir, manakala Negeri-Negeri Tanah Melayu, lat tempoh kajian semula persempadanan terdahulu akan berakhir pada 9 Mac depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikehendaki menjalankan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri selepas tamat lat tempoh lapan tahun daripada urusan kajian semula yang terakhir atau sekiranya berlaku pindaan undang-undang melibatkan komposisi keanggotaan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, perkara itu selaras dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, lat tempoh lapan tahun bagi urusan kajian semula persempadanan Negeri Sarawak telah berakhir pada 21 Ogos 2023.

“Pihak SPR kini berada dalam proses penyediaan syor-syor kajian semula persempadanan bagi negeri tersebut sebelum melaksanakan proses seterusnya sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kajian ini akan mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN sebagaimana yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 7 Julai 2025 dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai status terkini pelaksanaan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta jangkaan semua urusan itu dilengkapkan.

Azalina berkata, bagi negeri Sabah, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan telah berakhir pada 21 Februari 2025.

Ujarnya, ketika ini SPR masih belum memutuskan untuk memulakan proses berkenaan memandangkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 baharu sahaja selesai.

Artikel Berkaitan:

“Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu pula, lat tempoh kajian semula persempadanan terdahulu akan berakhir pada 9 Mac ini.

“Sebarang keputusan bagi pelaksanaan urusan kajian semula persempadanan hanya akan ditentukan SPR selepas tamatnya lat tempoh itu,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kajian semula persempadanan bagi Sabah dan Sarawak telah berakhir
  • Lat tempoh kajian semula persempadanan untuk Negeri-Negeri Tanah Melayu akan berakhir pada 9 Mac
  • Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan kajian semula selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau berlaku pindaan undang-undang
  • Untuk Sarawak, kajian akan mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN
  • Bagi Sabah, SPR masih belum memulakan proses kajian semula persempadanan pasca Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!