Rosak hutan, lenyaplah flora dan fauna
ISU pembalakan di hutan Semenanjung Malaysia semakin panas akhir-akhir ini sehingga mengundang kemarahan rakyat. Rata-rata marah apabila melihat khazanah alam berusia ratusan tahun itu dijarah tanpa henti sehingga memberi kesan kepada habitat di sekitarnya.
Dalam pada kemarahan mereka masih membara, muncul pula isu baharu yang turut mengancam kelestarian hutan.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan satu sindiket menjual hutan simpan kekal dilaporkan wujud di Gua Musang, Kelantan. Sindiket dikesan menyelinap masuk ke hutan simpanan kekal dan meneroka rizab tersebut dengan menukarnya kepada kawasan penanaman kelapa sawit dalam keluasan tertentu.
Ia jelas menunjukkan negara kita sedang berdepan krisis kemusnahan hutan yang serius. Kalau dibiarkan dan diambil ringan, lebih bayak lagi khazanah alam alam milik negara akan dijarah oleh mereka yang rakus.
Oleh itu, kerajaan harus segara melaksanakan satu pelan khusus bagi melindungi dan memelihara hutan di negara ini. Undang-undang sedia ada perlu ditambah baik manakala hukuman dikenakan kepada pesalah perlu ditingkatkan.
Dalam masa sama, kerajaan perlu bertegas dengan menghentikan terus aktiviti pembalakan, sekali gus mengharamkannya daripada berlaku di muka bumi Malaysia ini.
Lihat sahaja Norway, kecintaan mereka terhadap alam sekitar menyebabkan negara itu mengambil keputusan menghentikan serta-merta aktiviti pembalakan. Negara tersebut juga enggan mengimport, mengeksport atau menggunakan mana-mana produk yang menyumbang kepada aktiviti pembalakan.
Menurut laporan The Global Forest Goals Report 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Semasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hutan adalah rumah kepada 80 peratus spesies haiwan dan sumber kepada 75 peratus air bersih di muka bumi.
Ini bermakna, merosakkan atau meneroka hutan tanpa henti akan menyebabkan flora dan fauna pupus serta memusnahkan kawasan tadahan air.
Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memelihara anugerah ALLAH yang tidak ternilai itu demi kebaikan bersama.