SPRM ambil perhatian serius CPI 2021

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International (TI) terus jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International (TI) terus jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil perhatian serius terhadap keputusan skor dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International-Malaysia (TI-M) pada Selasa.

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020, manakala skor Malaysia turun kepada 48 berbanding 51 pada 2020.

"SPRM akan mengkaji hasil penemuan TI-M berkaitan skor CPI 2021 dan akan memberi cadangan dalam masa terdekat," menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Presiden TI-M Dr Muhammad Mohan ketika membentangkan CPI 2021 itu berkata meskipun skor menurun namun negara menunjukkan perkembangan positif sepanjang tahun lepas apabila kerajaan menunjukkan pendekatan dwipartisan melalui memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September lepas.

Menurutnya, antara sebab kemerosotan skor adalah kerana tindakan yang sangat terhad daripada kerajaan sedia ada dan kerajaan sebelum ini dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan hak asasi manusia di Malaysia.

Muhammad juga berkata kurangnya kehendak dalam memperbaharui SPRM menjadi institusi antirasuah yang benar-benar bebas dan berada di bawah tanggungjawab Parlimen seperti yang dicadangkan pada 2015 turut menjadi penyumbang.

SPRM dalam kenyataannya menyeru semua pihak agar meneruskan jalinan kerjasama dan sehaluan di samping mempunyai iltizam politik untuk menambah baik usaha pencegahan rasuah di negara ini kerana pihaknya tertakluk kepada bidang kuasanya sebagai agensi penguat kuasa. - Bernama

Artikel Berkaitan: