MAHB rancang panjangkan landasan Lapangan Terbang Pulau Pangkor

Pesawat SKS Airways yang membawa 19 penumpang dari Subang tiba di Lapangan Terbang Pangkor pada Selasa.
Pesawat SKS Airways yang membawa 19 penumpang dari Subang tiba di Lapangan Terbang Pangkor pada Selasa.
A
A
A

LUMUT - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Perak untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor bagi menerima pesawat penumpang jenis ATR-70.

Pengerusi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perancangan pihaknya adalah untuk memanjangkan landasan bagi pesawat mendarat dan berlepas pendek (STOL) itu sehingga 1.5 kilometer (km).

"Kita sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk memanjangkan landasan lapangan STOL sedia ada ini. Saya telah memaklumkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengenai perancangan MAHB dan mendapat sokongan kuat daripada kerajaan negeri.

"Sekarang ini panjangnya adalah 732 meter. Kita berharap dengan tercapai 1.5km ia membolehkan kapal terbang ATR-70 yang membawa sekitar 70 penumpang dapat mendarat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan sambutan penerbangan sulung SKS Airways ke Pulau Pangkor bersama Saarani di Lapangan Terbang Pangkor di sini pada Selasa.

Zambry
Zambry

Hadir sama Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah SKS Airways, Datuk Fahrul Rohman Ahmad.

Media sebelum ini melaporkan MAHB dalam kajian dan perincian untuk memanjangkan landasan Lapangan Terbang Pangkor dengan memperincikan penilaian jenis kapal terbang yang akan menggunakan landasan berkenaan kelak.

Artikel Berkaitan:

Lapangan Terbang Pangkor dibuka sejak 1993 telah berhenti beroperasi sejak Februari 2014.

Namun dengan inisiatif SKS Airways, lapangan terbang itu kembali beroperasi dengan melakukan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang setiap hari bermula Rabu.