Garis panduan guru, petugas Kemas dibenar berpolitik akan disediakan

Ismail Sabri (duduk empat dari kanan) bergambar kenangan bersama petugas-petugas Kemas daerah Bera di Pejabat Kemas Daerah Bera pada Ahad.
Ismail Sabri (duduk empat dari kanan) bergambar kenangan bersama petugas-petugas Kemas daerah Bera di Pejabat Kemas Daerah Bera pada Ahad.
A
A
A

BERA - Kerajaan menyerahkan kepada kementerian berkaitan untuk menyediakan garis panduan yang lebih terperinci selepas membenarkan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kembali berpolitik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, garis panduan itu membabitkan apa yang dibenarkan dan tidak boleh dilakukan selepas kebenaran berpolitik diberikan kepada mereka.

Menurutnya, ia akan ditentukan oleh kementerian dan mendapat persetujuan daripada menteri terlibat.

"Selepas ini, ia akan dibentang apa yang boleh dan tidak boleh, jadi tiada halangan seperti petugas Kemas menghadiri program parti.

"Sebelum ini tidak boleh, akan diambil tindakan kerana ia larangan yang ditetapkan, sekarang sekatan itu sudah dibatalkan cuma yang lebih terperinci biar Kemas sendiri tentukan," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas megadakan pertemuan dengan petugas-petugas Kemas daerah Bera.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan golongan tersebut agar tidak melupakan tugas hakiki masing-masing.

"Jangan jejaskan tugas hakiki sebagai guru, pemaju, pengajar Kemas tapi yang lain-lain kita anggap dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi apa yang dibenarkan, sejauh mana seperti boleh memegang jawatan dalam politik dan sebagainya, kita akan tengok selepas ini," tambahnya.

Jelasnya, beliau juga berharap garis panduan secara terperinci itu dapat dibuat secepat mungkin.

"Saya ingat peraturan lama itu sudah ada, cuma kena kaji semula apa yang kita pernah dilakukan dan kalau ada penambahbaikan, ia akan ditentukan oleh Kemas sendiri," katanya.