X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

DBKL siasat individu tendang gelandangan

Laporan Sinar Harian
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan siasatan berhubung insiden individu menendang seorang gelandangan dalam sebuah video tular dipercayai dirakam di hadapan pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, tindakan akan diambil jika individu tersebut adalah kakitangan DBKL.

"Pihak DBKL sedang menyiasat dan jika ia melibatkan kakitangan DBKL, pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap beliau," katanya pada Ahad.

Sabtu lalu, tular rakaman video durasi 30 saat di laman sosial memaparkan seorang gelandangan ditendang di bahagian perut oleh seorang lelaki dipercayai ketika operasi pembersihan dijalankan pada 14 Januari lalu.

Turut berada di lokasi adalah pekerja pembersihan Alam Flora.

Bagaimanapun, sumber daripada Alam Flora memaklumkan individu tersebut bukan kakitangannya.

"Pekerja Alam Flora yang pakai baju merah sahaja dan dua individu lagi kami tidak pasti. Mereka (pekerja Alam Flora) berada di lokasi untuk bantu bersih kawasan sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya memberitahu telah memulakan siasatan dan sedang memburu individu melakukan perbuatan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pada masa sama memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!