ADUN kena jadi 'hos' promosi tempat menarik

Nicole (dua dari kiri) melawat pempamer di MATTA Fair di Negeri Sembilan.
Nicole (dua dari kiri) melawat pempamer di MATTA Fair di Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan disaran memainkan peranan sebagai 'hos tempatan' untuk mempromosikan kawasan menarik di tempat masing-masing.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, ini kerana mereka lebih mengenali kawasan tersebut sekali gus dapat membantu merancakkan industri pelancongan di negeri ini.

"Saya sudah beritahu YB kawasan (Negeri Sembilan) untuk jadi 'local host' seperti mana dilakukan oleh ADUN Sekinchan yang membuatkan Sekinchan popular kerana dari sawah padi yang tiada apa-apa, sekarang sudah ada kilang beras dan pelbagai aktiviti menarik diadakan di sana.

"Ini kerana YB kawasan itu aktif menjadi local host dan aktif mengenal pasti tempat-tempat menarik di kawasan mereka dan menggalakkan pelancong masuk," katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2024 Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Presiden MATTA, Nigel Wong dan Pengerusi MATTA Negeri Sembilan, Lee Fook Moi.

Ujarnya, dengan cara itu lambat laun Negeri Sembilan dapat membina dan menampilkan pakej-pakej pelancongan yang lebih menarik.

Pada masa sama kata beliau, penduduk negeri ini juga turut disaran berbuat perkara sama dan kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

Nicole (tengah) merasmikan MATTA Fair 2024 Negeri Sembilan pada Jumaat.
Nicole (tengah) merasmikan MATTA Fair 2024 Negeri Sembilan pada Jumaat.

"Kita juga tidak boleh mengabaikan promosi dengan agensi dan pihak berkaitan dan kerajaan negeri akan bekerjasama supaya boleh meletakkan Negeri Sembilan dalam jadual pelancongan.

"Ini kerana Negeri Sembilan jarang disebut sebagai lokasi pelancongan kerana mungkin ia berdekatan dengan Kuala Lumpur dan Melaka sehingga menyebabkan negeri ini tidak begitu menyerlah," katanya.

Tambah Nicole, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Negeri Sembilan turut mempunyai pelbagai lokasi menarik yang boleh dikunjungi.

Malah katanya, negeri ini juga lebih dekat dengan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) yang lebih memudahkan pelancong datang iaitu kurang dari satu jam perjalanan.

"Saya berharap selepas ini Tourism Malaysia dan MATTA dapat meletakkan nama Negeri Sembilan dalam semua bahan anda supaya ada sedikit peluang untuk negeri ini jadi sebagai tempat tarikan pelancong," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!