Kaji semula undang-undang perlindungan alam sekitar

Amirudin
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan menyemak semula undang-undang sedia ada berkaitan perlindungan alam sekitar di negeri bagi membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap mana-mana pesalah.

Langkah itu adalah susulan daripada insiden pencemaran yang berlaku di kolam takungan banjir di Taman Eng Ann, Klang pada Khamis lalu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata buat masa ini, peruntukan yang digunapakai bagi kesalahan itu adalah di bawah akta Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengikut undang-undang Kerajaan Persekutuan.

"Saya percaya dengan kejadian terkini dan masalah yang berlaku, kita memerlukan undang-undang lebih tegas untuk menangani masalah pencemaran dan pembuangan sisa yang dapat memberi kesan buruk kepada masyarakat serta alam sekitar," katanya selepas Majlis Anugerah Media Tahunan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), semalam.

Sebelum ini, kolam takungan banjir itu tercemar selepas ekoran tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa industri di lokasi berkenaan serta beberapa longkang di kawasan sekitar.

Mengulas perkembangan terkini mengenai kejadian itu, Amirudin berkata menerusi maklumat Unit Bencana Negeri Selangor, tiga lori tanker telah memulakan proses pembersihan sisa terbabit dan ia dijangka selesai dalam tempoh masa terdekat.

"Pembersihan sisa di beberapa longkang sepanjang 1.5 kilometer juga telah selesai dilaksanakan," katanya.

Tambah beliau menerusi kajian yang dilakukan, tiada sebarang bahan kimia merbahaya ditemui di Sungai Klang berikutan sisa industri terbabit hanya terkumpul di kolam takungan banjir tersebut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia